Kesihatan

Bunga Siti Zubaidah beracun

Sejenis pokok bunga hiasan yang semakin mendapat tempat di hati peminat bunga ketika ini disahkan sebagai beracun.

Pusat Racun Negara menerusi akaun Facebooknya hari ini menjelaskan, Bunga Siti Zubaidah (Hydrangea) yang paling sesuai hidup di kawasan tanah tinggi itu mempunyai cecair atau getah yang berbahaya.

“Ia semakin mendapat tempat di hati peminat bunga kerana warna bunganya yang lembut.

“Selain daripada itu, keistimewaan bunga ini ialah ia mengambil masa selama tiga bulan untuk mekar sepenuhnya dan warnanya akan bertukar-tukar sepanjang masa tersebut.

“Namun, dalam kecantikan itu ternyata ada bahaya yang tersembunyi. Penggemar bunga perlu tahu bahawa bahagian tumbuhan ini terutama cecair atau getahnya mengandungi hydrangin (sejenis bahan sianogenik glikosid), febrifugine, hydrangenol dan loganin,” menurut kenyataan itu lagi.

Jelas Pusat Racun Negara lagi, bahan kimia berkenaan boleh menyebabkan rasa loya, sakit perut, muntah-muntah, cirit birit, lemah otot, sawan, koma dan kematian bergantung kepada kuantiti yang terdedah.

Sehubungan itu, pusat yang terletak di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang itu menasihatkan supaya peminat bunga tersebut perlu berhati-hati mengendalikannya terutama sekali jauhkan daripada capaian kanak-kanak dan juga haiwan peliharaan.

“Pakai sarung tangan ketika mengendalikan tumbuhan ini dan cuci tangan dan pakaian selepas itu,” jelasnya.

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
%d bloggers like this: