Penduduk terjejas banjir di Segamat terima bantuan barangan elektrik

Sebanyak 31 buah keluarga di Kampung Padang Kiambang dan Spang Loi, Segamat Johor yang terjejas banjir akibat ban Sungai Muar di Kampung Spang Loi pecah penghujung tahun lalu, telah menerima bantuan barangan elektrik dan perabot rumah tajaan pihal Islamic Relief Amerika Syarikat.

Pegawai Kanan Bahagian Program, Islamic Relief Malaysia, Muhammad Izzat Ruslan berkata, sumbangan yang diberikan itu merupakan kesinambungan bantuan pasca banjir bagi meringankan beban penduduk terjejas yang kebanyakannya dari golongan berpendapatan 40 peratus terendah (B40) ke bawah.

“Ini kali keempat Islamic Relief menyantuni penduduk di sini. Sebelum ini, kami pernah menjalankan kerja-kerja pembersihan rumah, serahan sumbangan ‘water jet’, beras, periuk nasi, cerek elektrik, kain batik dan kain pelikat serta telekung.

“Selain itu edaran baucar wang tunai juga boleh diguna pakai di pasaraya Nirwana Maju berdekatan tempat tinggal penduduk setempat.

“Kali ini antara bantuan yang kami berikan ialah katil, tilam, peti ais, meja makan, kabinet dapur, almari pakaian dan mesin basuh.

“Syukur, banyak pihak yang prihatin untuk membantu penduduk terjejas di sini. Sebagai NGO pelaksana, kami sentiasa mengalu-alukan kerjasama daripada pelbagai pihak untuk sama-sama kita meringankan beban golongan memerlukan agar tiada yang merasa terpinggir,” katanya.

Sementara itu, seorang penduduk Kampung Padang Kiambang, Norra Isa berkata, walaupun hampir 10 bulan tragedi bah melanda kampung ini, namun penduduk setempat masih trauma apabila hujan turun berterusan.

“Sampai sekarang, saya rasa sebak bila teringat kejadian banjir tersebut. Hampir 10 hari kami terkepung dalam banjir, habis semua barang musnah.

“Tidak ada apa yang dapat diselamatkan dan sehingga hari ini pun, tak semua barang dapat diganti. Maklumlah, kami bukan orang senang, apabila dapat bantuan seperti ini, rasa syukur sangat,” katanya.

Majoriti penduduk di kedua-dua buah kampung yang terjejas tersebut tidak mempunyai pendapatan tetap. Sumber pendapatan mereka bergantung kepada kerja-kerja kampung seperti menoreh getah, menternak haiwan dan memotong rumput.

Terdahulu, Islamic Relief Malaysia turut menyampaikan sumbangan baucar tunai kepada 126 keluarga dari Kampung Batu Kapor, Mentakab, Pahang yang juga mendapat tajaan daripada Islamic Relief Amerika Syarikat.

SOO Wincci juga turun padang membantu kerja-kerja edaran
bantuan.

Walaupun sibuk dengan tugasan hakiki, Ikon Kemanusiaan Islamic Relief Malaysia yang juga pensyarah di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam iaitu Prof. Madya Dr. Soo Wincci turut gigih mencuri masa untuk buat kerja amal.

Tugasan mengajar yang padat setiap hari Isnin hingga Jumaat ditambah dengan komitmen sebagai artis dan kerja produksi, nyata tidak menghalang Soo Wincci untuk menjalankan tanggungjawab sosial menyantuni masyarakat.

Beliau juga sempat bari-baru ini meluangkan masa satu hari di Kampung Padang Kiambang, Segamat, Johor bagi mengedarkan bantuan pasca banjir kepada penduduk terjejas bersama Islamic Relief Malaysia.

“Hari biasa, jadual saya memang padat dengan tugasan mengajar jadi hujung minggu saya akan luangkan untuk kerja-kerja lain seperti terlibat dalam kerja amal sebegini.

“Bagi saya, ini adalah peluang keemasan yang tidak boleh saya tolak. Bukan senang kita nak masuk ke kawasan kampung dan bertemu dengan masyarakat jika bukan dalam program seperti ini.

“Saya sangat gembira dan rasa puas melihat senyuman yang terukir di wajah orang-orang yang kami bantu. Dugaan yang mereka hadapi ketika banjir sangat besar. Kehilangan dan kemusnahan harta benda yang terpaksa mereka tanggung bukan sedikit.

“Saya juga rasa sebak bila ada penerima bantuan yang hampir menitiskan air mata kerana begitu terharu atas sumbangan yang diberikan,” kata Soo Winci.

Dr. Soo Wincci bukan sahaja turun di lapangan untuk memberi kata-kata semangat malah beliau sendiri turut sama mengangkat barangan bantuan.

Tindakan bekas Ratu Cantik Malaysia tersebut yang sanggup mengenepikan populariti dan bergaul mesra dengan masyarakat berbilang bangsa wajar dicontohi.

Beliau juga sempat memberikan nasihat kepada anak-anak penerima bantuan yang masih bersekolah untuk belajar bersungguh-sungguh dan menyambung pelajaran sehingga ke peringkat paling tinggi.

Editor

Related Posts

Daim Zainuddin meninggal dunia

Bekas Menteri Kewangan, Tun

Read more

Sejarah t-shirt polo

Sebagai seorang lelaki anda

Read more

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: