
Peratus keseluruhan kes kanser yang dikesan lewat (stage III dan IV) meningkat dari 58.7 peratus pada 2001-2011 kepada 63.7 peratus pada 2012-2016.
Ia disifatkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah sebagai situasi ini membimbangkan dan perlu diberi perhatian sewajarnya.

Menurut beliau, bagi mengelakkan kanser dikesan lewat dan peluang untuk sembuh yang lebih baik, orang ramai diminta untuk melakukan ujian saringan serta dinasihatkan supaya mengenali tanda dan gejala awal kanser.
“Kementerian Kesihatan menyediakan perkhidmatan saringan kanser payudara, kolorektal, serviks dan mulut di seluruh negara secara percuma.
“Perkhidmatan saringan kanser juga boleh didapati di fasiliti-fasiliti swasta dengan kadar bayaran tertentu. Bagi pesakit yang telah disahkan menghidap kanser, mereka perlu mendapatkan rawatan dengan segera,” katanya dalam kenyataan sempena Sambutan Hari Kanser Sedunia hari ini.

Sementara itu, menurut Noor Hisham, Hari Kanser Sedunia disambut di seluruh dunia pada 4 Februari dengan tujuan mengajak orang ramai untuk menyokong dan sama-sama mengambil bahagian dalam usaha mencegah dan mengawal penyakit kanser.
Jelasnya, kanser merupakan salah satu penyakit kronik yang ditakuti dan boleh memberi impak negatif yang tinggi kepada pesakit, keluarga dan negara.
Tambahnya lagi, Kementerian Kesihatan melaporkan jumlah kes kanser pada tahun 2012-2016 meningkat sebanyak 11 peratus berbanding tahun 2007-2011.
“Secara keseluruhan, tiga jenis kanser yang paling kerap berlaku di Malaysia adalah kanser payudara (19%) diikuti dengan kanser kolorektal atau usus besar (13.5%) dan kanser paru-paru (9.8%).
“Dalam kalangan lelaki, kanser kolorektal merupakan kanser yang paling kerap berlaku (16.9%) dan dalam kalangan wanita pula adalah kanser payudara (33.9%),” katanya.
Tambah beliau lagi, menurut Health Facts terbitan Kementerian Kesihatan, pada tahun 2019, kanser adalah penyebab kematian utama di hospital-hospital swasta (33.19%) dan keempat utama di hospital kerajaan (12.18%).
“Satu pertiga kematian kanser adalah dikaitkan dengan amalan berisiko iaitu; berat badan yang berlebihan, kurang pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran, kurang melakukan aktiviti fizikal, pengambilan tembakau atau merokok serta pengambilan alkohol.
“Pengambilan tembakau merupakan faktor risiko paling penting untuk kejadian kanser dan menyumbang kepada 22% kematian akibat kanser. Secara amnya, faktor-faktor risiko kanser adalah serupa dengan faktor risiko penyakit kronik yang lain,” katanya.
Sehubungan itu, sebagai langkah pencegahan jelas Noor Hisham, Kementerian Kesihatan sentiasa komited dalam menggalakkan orang ramai supaya mengamalkan gaya hidup sihat.
“Kementerian Kesihatan juga menyediakan perkhidmatan immunisasi Human Papilloma Virus (HPV) untuk murid sekolah perempuan di tingkatan satu bagi mencegah kanser serviks dan immunisasi Hepatitis B kepada bayi bagi mencegah kanser hati,” katanya.
Dalam pada itu, jelasnya, Kementerian Kesihatan amat prihatin dengan kesihatan dan kesejahteraan pesakit-pesakit kanser terutamanya semasa pandemik Covid-19.

“Ini kerana pesakit kanser mempunyai sistem daya tahan yang rendah berbanding dengan orang lain dan lebih berisiko untuk mendapat jangkitan yang serius.
“Oleh itu, Kementerian Kesihatan telah mengambil langkah-langkah kawalan yang ketat di semua fasiliti kesihatan bagi memastikan Prosedur Operasi Standard (SOP) dilaksanakan semasa temujanji dan rawatan pesakit kanser,” katanya.
Tambah beliau, Kementerian Kesihatan juga akan memastikan semua pesakit kanser menerima rawatan sewajarnya mengikut jadual yang ditetapkan.
Sementara itu, katanya, Hari Kanser Sedunia tahun ini mengekalkan tema I Am and I Will (Saya Akan dan Saya Boleh) yang mengajak semua individu memainkan peranan masing-masing dalam mencegah dan mengawal kanser di negara ini.