Skuad bolasepak kebangsaan Malaysia membawa kelebihan satu gol ke Bangkok selepas menang tipis 1-0 ke atas Thailand dalam aksi separuh akhir pertama Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur malam tadi.
Dalam perlawanan sengit itu, Harimau Malaya memperoleh gol kemenangan menerusi sentuhan ketua pasukan, Faisal Halim pada minit ke-11.
Skuad Gajah Perang kemudian bagaimanapun dilihat lebih banyak menguasai perlawanan termasuk memperoleh beberapa peluang jaringan.
Namun begitu, Malaysia masih berupaya menembusi gawang Thailand pada minit ke-54 tetapi jaringan hasil tandukan penyerang negara, Darren Lok, tidak dikira pengadil dari Korea Selatan, Kim Dae Yong.
Sehingga tamat perlawanan, keputusan kekal memihak Malaysia sekali gus menceriakan lebih 50,000 ‘ekor’ Harimau Malaya yang hadir memberikan sokongan.
Perlawanan kedua separuh akhir akan berlangsung di Bangkok, Thailand, 10 Januari ini.