Pemain bola sepak terhebat, Pele meninggal dunia

Pemain bola sepak terhebat sepanjang zaman dan juga legenda Brazil Pele, meninggal dunia hari ini pada usia 82 tahun.

Pemenang Piala Dunia sebanyak tiga kali itu meninggal dunia di Hospital Albert Einstein di Sao Paulo, Brazil akibat kegagalan pelbagai organ selepas sekian lama bertarung dengan kanser.

Berita kematian pemilik nama sebenar, Edson Arantes do Nascimento itu telah disahkan oleh anak perempuannya, Kely Nascimento menerusi catatan di Instagram dan ia turut disahkan oleh penerbitan Brazil, Globo serta oleh pihak hospital.

“Semua yang boleh kami ungkapkan kepada anda adalah terima kasih. Kami menyayangi anda tidak terhingga. Berehatlah dengan tenang,” tulis Kely.

Kesihatan Pele sebelum ini semakin merosot selepas dia bertarung dengan masalah buah pinggang serta kanser kolon, dan menjalani pembedahan terakhir pada September 2021, diikuti dengan kemoterapi.

Dilahirkan pada 23 Oktober 1940, Pele mula menunjukkan bakatnya pada usia 15 tahun dan bermain secara profesional bersama Santos.

Pele dijulang selepas membawa Brazil memenangi Piala Dunia 1970 di Mexico.

Bersama kelab itu, Pele mengetuainya dengan membawa pelbagai kejuaraan, termasuk Piala Antara Benua berturut-turut menewaskan Benfica pada 1962 dan AC Milan pada 1963.

Mendiang mula mewakili pasukan Brazil pada umur 16 tahun dan memenangi Piala Dunia pada tahun 1958, 1962 dan 1970. Dia juga telah menjaringkan sebanyak 72 gol daripada 92 perlawanannya bersama skuad Samba itu.

Pele juga pernah mewakili kelab bolasepak dari Amerika Syarikat, New York Cosmos dari tahun 1975 sehingga 1977 dan berjaya menjaringkan sebanyak 37 gol daripada 64 penampilan.

Hafizi Bakhtiar

Related Posts

“Seorang pergi, empat yang datang tau”

Selepas kehilangan penjaga gol

Read more

Perak FC kembali bersama Hadi Fayyadh dan jersi pink

Pink atau merah jambu

Read more

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: