Sebanyak RM10 juta bantuan khas Padiberas Nasional Berhad (Bernas) berjumlah RM10 juta bagi tahun 2022 akan disalurkan secara berperingkat kepada pesawah.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu dalam kenyataan berkata, bantuan tersebut akan disalurkan kepada pesawah di tiga buah negeri di Pantai Timur terlebih dahulu iaitu di Kelantan, Terengganu dan Pahang.
Bagi pesawah di negeri-negeri lain pula, mereka akan menerima apabila baki bantuan khas Bernas berjumlah RM50 juta disalurkan.
Menurut Mohamad, pesawah di tiga buah negeri terbabit akan menerima bantuan khas tersebut selewat-lewatnya pada 16 Januari depan.
Tambah beliau, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dan agensinya sedang memuktamadkan senarai nama dan nombor akaun pesawah di ketiga-tiga negeri terbabit bagi memastikan proses penyaluran berjalan lancar.
Seramai 20,598 orang pesawah akan menerima manfaat daripada sumbangan Bernas itu yang berjumlah RM250 bagi setiap pesawah.
Pada awal Disember lalu, Bernas bersetuju dengan permintaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya disediakan peruntukan sebanyak RM60 juta bagi membantu pesawah di seluruh negara.