Berita AmNasionalPolitik & Kerajaan

Ahmad Zahid, Fadillah diumumkan sebagai TPM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam mengumumkan dua orang yang memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri dalam Kabinet kerajaan perpaduan yang diterajui beliau.

Kedua-dua mereka ialah, Pengerusi Barisam Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Seri Fadillah Yusof.

Dalam pengumuman barisan jemaah Menteri itu, Anwar yang turut memikul jawatan Menteri Kewangan turut memaklumkan bahawa Ahmad Zahid turut dilantik sebagai Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah manakala Fadillah pula sebagai Menteri Perladangan dan Komoditi.

Setiausaha Agung DAP yang juga Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke Siew Fook diumumkan sebagai Menteri Pengangkutan manakala Presiden Amanah, Mohamad Sabu sebagai Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

Timbalan Presiden PKR yang merupakan Ahli Parlimen Pandan, Mohd. Rafizi Ramli dilantik sebagai Menteri Ekonomi manakala Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan diumumkan sebagai Menteri Pertahanan.

Senarai anggota jemaah menteri kerajaan perpaduan yang telah dilantik.

Secara keseluruhan, seramai 28 orang menganggotai Kabinet kerajaan perpaduan tersebut dan Anwar memaklumkan untuk jawatan timbalan menteri, ia akan diumumkan kemudian.

“Pemilihan barisan Kabinet ini ada beberapa prinsip diterima pakai merangkumi semua kekuatan induk parti iaitu Pakatan Harapan (PH), yang mempunyai jumlah undi terbanyak dan ahli Parlimen terbesar.

“Selepas PH diikuti BN dan GPS yang mana ketiga-tiga tonggak parti ini sepakat bukan sahaja membentuk jemaah menteri tetapi membentuk dasar utama dalam soal tadbir urus baik dan keutamaan memacu pertumbuhan ekonomi dan mengurangkan beban rakyat daripada segi kos sara hidup,” jelas Anwar.

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
%d bloggers like this: