Doa yang dibacakan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menyampaikan Perutusan Khas hari ini telah mengundang sebak rakyat jelata yang menonton dan mendengarnya secara langsung.
Di media-media sosial, rata-rata warganet mengakui mereka sebak dan terharu dengan doa yang berkenaan malah mereka juga berharap negara ini dapat menempuh krisis yang dihadapi ekoran penularan wabak COVID-19.
Seorang pengguna Facebook, Yen Heder turut sebak ketika sama-sama mengaminkan doa yang dibacakan oleh Perdana Menteri.
“Sebak apabila mengaminkan bacaan doa yang dibacakan oleh Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam lintas langsung perutusan khas beliau sebentar tadi
“Masa inilah kita perlu bersatu padu. Masa inilah kita perlu semaikan semangat ‘Esprit De Corps’ dalam diri. Patuhlah pada arahan kerajaan. Jangan ingkar PKP. Dalam masa sama, teruskanlah berdoa agar kita semua dilindungi. Kerana doa adalah senjata mukmin,” katanya.
Wartawan Malaysia Gazette, Kasthuri Jeevan turut mengakui doa berkenaan telah menyentuh hatinya.
” Doa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin sebentar tadi sebenarnya menyentuh hati sehingga rasa hendak menangis, GOD, pls have mercy on all of us, Amen….,” menurut catatan di akaun Facebook miliknya.
Selebriti yang juga usahawan, Neelofa juga berasa sayu dengan doa yang dibacakan Muhyiddin.
“Terasa sebak dan sayu tatkala mendengar bacaan doa oleh TSMY. Semoga urusan kita dipermudahkan-Nya,” katanya menerusi akaun Twitter.
Pengguna Twitter @tieyahhhh juga tidak terkecuali sebak dengan doa tersebut.
“Serius sebak dgr bacaan doa dr Tan Sri Muhyiddin Yasin, ya Allah kmi memohon perlindungan dariMu ya Allah lindungilah kmi dr penyakit berjangkit ni sesungguhnya kmi hamba yang berdosa,” tulisnya.
Berikut merupakan doa yang dibacakan oleh Muhyiddin.
Sementara itu, dalam perutusan yang sama, Perdana Menteri memaklumkan bahawa kerajaan
membuat keputusan untuk melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hingga 14 April ini.
Menurut beliau, keputusan perlanjutan itu dimaklumkan lebih awal bagi memberi ruang kepada rakyat untuk membuat persediaan awal.