Pink atau merah jambu menjadi antara warna jersi pasukan Perak FC bagi saingan Liga Super 2023. Ia diperkenalkan semalam warna itu akan digunakan sebagai uniform pra perlawanan.
Tidak pasti adakah mereka pernah mengutamakan warna itu atau tidak. Ikut gaya promosi dilakukan, nampak Perak mahu bawa sedikit kelainan.
Memang langkah tepat demi menaikkan semula imej pasukan, setelah hilang daripada pentas utama bola sepak tempatan.
Promosi pengenalan jersi juga dilakukan bersama penyerang, Muhammad Hadi Fayyadh Abdul Razak Amat sesuai memandangkan jenama Perak FC dan Hadi Fayyadh seakan sudah tenggelam.
Mereka memerlukan antara satu sama lain terutama bagi penyerang tinggi lampai itu merebut tempat dalam skuad Malaysia untuk Piala Asia.
Jersi merah jambu, Hadi Fayyadh dan menjadi pasukan paling awal memperkenalkan jersi merupakan ramuan terbaik buat skuad Perak FC setidak-tidaknya menghebahkan berita bahawa juara Piala Malaysia 2018 itu sudah kembali ke Liga Super.
Perak mengekalkan kuning sebagai jersi utama bersama pakej biru, hijau, putih dan hitam. Lengkap membentuk enam sekawan Power Rangers.
Menaikkan jersi pra perlawanan sudah menjadi trend. Kelab-kelab Eropah juga mempopularkan kaedah tersebut, hal sama berlaku semasa Piala Dunia 2022.
Jersi pra perlawanan umpama ruang mempelbagaikan kreativiti fesyen untuk lari daripada kebiasaan warna utama pasukan.
Real Madrid dan Juventus kerap membawa unsur pink dan ternyata mendapat sambutan. Kelab Major League Soccer (MLS) di Amerika Syarikat milik David Beckham iaitu Inter Miami juga menjadikan merah jambu sebagai tema jersi mereka.
Sebuah kelab ragbi gergasi Eropah pernah menukar warna rasmi dengan menerapkan pink dan berjaya memulihkan populariti pasukan.
Selamat maju jaya kepada pasukan Perak FC, semoga dapat terus mengembalikan kegemilangan yang hilang sebelum ini.