KemanusiaanPertubuhan Bukan Kerajaan (NGO)

Edar pek makanan Ramadan di 11 negara

Islamic Relief Malaysia meneruskan kesinambungan program bermusim Rezeki Ramadan

Mendepani jangkaan kemelesetan ekonomi dunia serta kenaikan kos sara hidup, Islamic Relief Malaysia meneruskan kesinambungan program bermusim Rezeki Ramadan menerusi edaran pek makanan di 11 buah negara termasuk Malaysia.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Islamic Relief Malaysia, Siti Fadilah Mohd Hood menerusi kenyataan berkata, program yang telah dilancarkan hari ini itu akan berlanjutan sehingga 21 April 2023 dan dijangka menyantuni 37,250 individu dengan sasaran kutipan dana sebanyak RM2.5 juta.

Kempen Rezeki Ramadan 2023 yang dilancarkan hari ini.

Jelas beliau, kriteria utama pemilihan penerima bantuan ialah golongan B40 dan ke bawah, orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal, pesakit kronik, pelarian, penduduk terjejas bencana dan keluarga dengan ahli yang ramai.

“Program tahunan global yang dijalankan Islamic Relief selama hampir empat dekad ini bertujuan meringankan beban golongan rentan dalam menyediakan juadah berbuka dan bersahur ketika bulan Ramadan.

“Tahun ini, secara keseluruhan, Islamic Relief bakal mengagihkan 314,032 pek makanan Ramadan yang memberi manfaat kepada lebih 1.7 juta individu di 30 buah negara.

“Bantuan ini berperanan sebagai bekalan makanan tambahan ketika Ramadan. Bagaimanapun, bagi penduduk di negara konflik yang berdepan ancaman malnutrisi mahupun kebuluran, pek makanan ini mungkin satu-satunya sumber utama bekalan makanan buat mereka,” katanya.

Edaran pek makanan Rezeki Ramadan di Malawi.

Jelas Siti Fadilah, setiap pek makanan mengandungi bekalan makanan ruji mengikut negara masing-masing seperti beras, tepung, jagung, pasta, bijirin, kekacang, daging dalam tin, minyak masak, gula, teh dan kurma.

“Tahun lalu, Islamic Relief telah berjaya mengagihkan 302,919 pek makanan yang memberi manfaat kepada 1,573,125 individu di 33 buah negara. Menerusi komitmen Islamic Relief Malaysia sahaja, 11,052 pek makanan diagihkan bagi menyantuni 61,040 individu hasil dana bantuan rakyat Malaysia,” kata beliau lagi.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh berbuat demikian di laman sesawang www.islamic relief.org.my atau hubungi 03-8926 3434 untuk maklumat lanjut.

Tiga pakej sumbangan Rezeki Ramadan yang ditawarkan Islamic Relief Malaysia tahun ini.

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button