Sambutan Deepavali tahun ini, lebih bermakna buat 1,000 keluarga masyarakat India yang kurang berkemampuan di sekitar Kuala Lumpur.
Ia apabila mereka menerima barangan keperluan harian serta pakaian daripada Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan, semalam.
Majlis penyerahan sumbangan sempena perayaan Deepavali itu diadakan dengan kerjasama Kementerian Sumber Manusia dan pasar raya Raaji Silk Palace, ia turut dihadiri oleh Menteri Perpaduan Negara, Datuk Seri Halimah Sadique.
Saravanan berkata, sumbangan tersebut selaras dengan tanggungjawab kementerian dengan kerjasama sektor korporat bagi membantu golongan memerlukan sempena Deepavali minggu hadapan.
“Dalam keadaan pandemik Covid-19 ramai golongan yang terjejas terutama kumpulan B40 dan kami telah mengenal pasti beberapa penerima sumbangan.
“Kami berharap sumbangan kami akan dapat menceriakan lagi Pesta Cahaya mereka dalam pada masa yang sama dapat membantu memupuk persefahaman dan juga keharmonian antara kaum di Malaysia.
Yang turut hadir pada majlis tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif Pembangunan Sumber Manusia (HRDF), Datuk Shahul Hameed Dawood dan Ahli-ahli Lembaga Pengarah Raaji Silk Palace.