Universiti Limkokwing melalui Yayasan Heal The World Universiti Limkokwing menyumbang sebanyak RM500,000 yang dilihat berupaya membantu lebih 2,000 individu memerlukan dalam usaha menyumbang kepada pemulihan negara daripada Covid-19.
Menerusinya, ia telah meletakkan Universiti Limkokwing antara universiti pertama di negara ini yang menjalankan tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi membantu dan menyokong kelangsungan hidup golongan yang memerlukan di negara ini.
Program Heal The World Universiti Limkokwing lebih memfokuskan kepada keluarga dan individu asnaf yang terkesan disebabkan pandemik Covid-19 sepanjang 2020 lalu.
Sebanyak 50 buah rumah penghuni warga emas dan anak-anak yatim di sekitar Lembah Klang, Seri Kembangan, Subang, Shah Alam, Petaling Jaya, Ampang, Rawang dan Puchong terlibat dalam program tersebut.
Dalam menjayakan misi tersebut pada April tahun 2020 lalu, Universiti Limkokwing turut menyumbang RM60,000 kepada petugas barisan hadapan di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia.
Presiden Universiti Limkokwing, Tan Sri Prof. Emeritus Dr. Lim Kok Wing dalam ucapan perutusannya sempena Sambutan Tahun Baharu 2021 baru-baru ini berkata, dunia hari ini sedar mengembalikan keadaan seperti sedia kala selepas pandemik Covid-19 untuk berakhir bukanlah mudah.
Ia kerana ramai di antara mereka yang berdepan dengan masalah kelangsungan hidup, kehilangan pekerjaan dan banyak industri termasuk Universiti Limkokwing terkesan dan terjejas dengan pandemik Covid-19.
“Justeru, inilah masanya sempena tahun baharu 2021 ini, Univeriti Limkokwing memulakan azam baharu melalui tanggungjawab sosial korporat, kami memberi bantuan kepada mereka dengan ikrar untuk membantu lebih 2,000 penerima dengan menyalurkan RM500,000.
“Kami berusaha membantu mereka yang paling terkesan akibat Covid-19 untuk kembali menjalani kehidupan seperti biasa. Misi utama kami pada tahun baharu ini adalah untuk menyatukan syarikat korporat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang ramai dari segenap sektor dan lapisan masyarakat dalam usaha menyokong petugas barisan hadapan, serta berganding bahu dalam mengatasi ancaman global ini,” katanya.
Kok Wing berkata, apa diharapkan sumbangan itu dapat membantu universiti berkenaan untuk terlibat menggerakkan misi bantuan sekali gus membantu golongan-golongan memerlukan.
“Sumbangan ini adalah selaras saranan kerajaan yang menggalakan usaha-usaha pihak korporat bersama dengan kerajaan pada era norma baharu ekoran penularan pandemik Covid-19,” katanya.
Kok Wing menambah, dengan pelaksanaan inisiatif Heal The World itu, pihaknya berharap dapat memainkan peranan dalam memupuk kesan sosioekonomi positif yang boleh dimanfaatkan rakyat Malaysia pada masa ini serta dalam jangka masa yang panjang seterusnya menyumbang kepada pemulihan negara.
“Universiti Limkokwing mengambil kesempatan ini untuk menjemput lebih banyak syarikat perniagaan bagi memberi sokongan yang amat diperlukan kepada petugas barisan hadapan dan mereka yang amat terjejas akibat wabak Covid-19,” katanya.