Lim Kok Wing, di sebalik slogan ‘A Better Life For All’

NAMA Nelson Mandela cukup dikenali dunia namun tidak ramai mengetahui pengasas Universiti Teknologi Kreatif Limkokwing (LUCT), Tan Sri Prof. Emeritus Dr. Lim Kok Wing adalah antara tulang belakang kepada kejayaan dikecapi bekas Presiden Afrika Selatan itu.

Sumbangan Lim Kok Wing kepada negara itu juga amat besar terutama dalam membebaskan rakyat Afrika Selatan daripada penjajahan Inggeris.

Semuanya bermula lebih dua dekad lalu apabila beliau diminta oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk membantu Mandela dan partinya, Kongres Kebangsaan Afrika (ANC) berkempen pada pilihan raya demokratik negara itu yang pertama dari penghujung tahun 1993 sehingga awal tahun 1994.

LIM KOK WING (kiri) bersama wakil khas kerajaan Afrika Selatan sempena memperingati peranan besar Nelson Mandela.

Tugas itu bukan mudah seperti yang dijangka malah pelbagai cabaran perlu dihadapi oleh Lim Kok Wing bagi memastikan misi tersebut berjaya.

Iklan

Beliau menerima tanggungjawab tersebut kerana berpendapat pada masa itu Malaysia perlu membantu Afrika Selatan bagi membolehkan mereka mengecapi kebebasan selain membuktikan dasar aparteid itu adalah salah.

Pengalaman pasukan Malaysia yang diketuai beliau telah berkempen di setiap pelosok Afrika Selatan selama enam bulan dan dalam tempoh itu pelbagai cadangan telah diberikan untuk tujuan kempen.

Oleh kerana ANC dipimpin bekas pejuang pembebasan yang tidak berpengalaman maka secara tidak langsung mereka terpaksa bergantung sepenuhnya kepada pasukan dari Malaysia untuk mengurus dan menjalankan kempen.

Sebagai seorang yang telah lama terlibat dengan bidang pengiklanan maka pengalaman yang dimiliki Lim Kok Wing telah dimanfaatkan dengan sebaiknya terutama dalam mencipta satu slogan khas untuk ANC bagi menarik sokongan rakyat kepada mereka.

Slogan ‘A Better Life For All’ sewaktu kempen tersebut juga hadir daripada buah fikiran Lim Kok Wing setelah diubah daripada ‘A Better Future For All’.

LIM KOK WING di sebalik kegemilangan slogan ‘A better life for all’

Lim Kok Wing juga pernah memaklumkan bagi menjadikan slogan berkenaan signifikan maka pihaknya telah memasukkan kanak-kanak pelbagai warna kulit dan keturunan bersama-sama dengan Mandela dan kemudian telah membentuk satu poster kempen yang amat menarik.

LIM KOK WING bersama sebahagian daripada pelajar Universitti Limkokwing di Afrika.

Lebih membanggakan slogan itu juga telah menjadi kunci kepada kejayaan buat ANC hingga menang dengan majoriti 62 peratus undi dan akhirnya Mandela dipilih sebagai presiden kulit hitam pertama di Afrika Selatan.

Paling menariknya, slogan itu juga masih digunakan sehingga sekarang meskipun selepas beberapa dekad dicipta.

Iklan

Leave a Reply

%d bloggers like this: