Industri kreatif, tingkat ilmu pengetahuan, ekonomi negara

INDUSTRI kreatif ketika ini dilihat semakin membangun malah ia menjadi penyumbang kepada pertumbuhan ekonomi bagi banyak syarikat di seluruh dunia.

Menurut Pengasas dan Presiden Universiti Limkokwing, Tan Sri Prof. Emeritus, Lim Kok Wing berkata, sebagai contoh di Malaysia sendiri industri kreatif menyumbang 1.9 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2015.

Industri kreatif menyumbang penghasilan bakat individu.

Katanya, industri kreatif menyumbang kepada penghasilan bakat individu atau berkumpulan berasaskan kreativiti, inovasi dan teknologi yang menjurus kepada sumber keberhasilan ekonomi dan pendapatan tinggi kepada negara.

“Pada masa sama industri kreatif multimedia seperti animasi dan kandungan digital dilihat paling pesat berkembang berbanding penerbitan filem, televisyen dan sebagainya.

Iklan

“Sedar atau tidak sebenarnya beberapa produksi tempatan telah berjaya menempa nama di persada antarabangsa malah turut mendapat permintaan tinggi untuk tayangan di dalam mahupun di luar negara,” katanya.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, sektor industri kreatif menyumbangkan kira-kira RM29.4 bilion pada tahun 2019 kepada KDNK negara.

Menariknya jelas Kok Wing, pada tahun yang sama (2019), industri ini turut memberikan peluang pekerjaan kepada 859,900 individu di seluruh negara.

Bukan itu sahaja malah industri tersebut juga mempunyai potensi besar untuk berkembang dan menyumbang kepada ekonomi Malaysia dalam jangka masa panjang.

Menurut Kok Wing, ketika ini cabaran yang dihadapi oleh semua pihak terlibat termasuk kerajaan ialah bagaimana untuk memanfaatkan asas ini, dan langkah-langkah pelaksanaan supaya ekonomi kreatif boleh menjadi penyumbang besar kepada negara.

“Sedar situasi semasa ekonomi yang tidak menentu terutama selepas dunia dihimpit dengan pendemik Covid-19 maka industri kreatif diyakini berupaya menjadi salah satu daripada bidang tumpuan oleh negara pada masa depan selain hospitaliti dan pelancongan.

“Ini kerana industri kreatif dilihat mampu menjana kepada pembangunan ekonomi terutama di peringkat negara. Seperti diketahui umum industri kreatif di Malaysia mempunyai ruang dan potensi untuk menjana pendapatan rakyat di samping berupaya menjadikan ekonomi negara lebih dinamik,”katanya.

Kok Wing turut menjelaskan, berdasarkan kajian dilakukan oleh Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia, sumbangan industri kreatif Malaysia terhadap KDNK adalah 2.0 peratus sejak lima tahun lepas dan kini menggaji sekitar satu juta orang.

“Dalam usaha menjadikan industri ini sentiasa kekal rasional maka pemain industri perlu menongkah cabaran dengan menampilkan idea-idea kreatif dan inovatif untuk memajukan arena penerbitan penulisan kreatif negara.

Perkara ini boleh dicapai menerusi budaya berkongsi pengetahuan, menulis dan membaca. Semua ini menuntut daya kreativiti serta inovasi yang tinggi, kritikal kepada kita untuk merangka strategi bagi memastikan kedua-dua medium penyampaian ilmu sama ada yang bercetak atau digital, dapat meningkatkan lagi kadar literasi dan memperkaya ilmu pengetahuan rakyat di negara ini,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Kok Wing berkata, dalam memastikan industri kreatif sentiasa seiring dengan kemajuan maka beberapa skop dalam bidang ini harus dihayati sepenuhnya.

 “Antaranya pengetahuan asas berkaitan industri kreatif multimedia iaitu penerbitan filem/TV, pengiklanan, senireka, animasi  dan kandungan digital.

Industri kreatif dan seni seperti fesyen dan tekstil wajar diberikan fokus

“Di samping itu,  perlu ditekankan ialah kepentingan industri kreatif seni budaya seperti kraf, seni visual, muzik, persembahan, penulisan kreatif serta  fesyen dan tekstil juga wajar diberikan fokus sepenuhnya malah ndustri kreatif warisan budaya juga sama pentingnya,” katanya.

Menurut Kok Wing lagi, jika diamati susur galur industri ini maka matlamat utamanya akan jelas kelihatan iaitu bertujuan melonjakkan ekonomi dan sosiobudaya sesebuah negara.

Dalam masa sama ia mampu mencambah sumber maklumat dan mengetengahkan perlambangan budaya tempatan serta identiti kebangsaan ke peringkat global.

Iklan

Leave a Reply

%d bloggers like this: