“Kecil bagi kita, besar bagi mereka”

Sejak penularan pandemik Covid-19 di negara ini diikuti dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu, Islamic Relief Malaysia sentiasa berusaha meringankan beban golongan terjejas dengan edaran bantuan kepada lebih 7,000 penerima.

Ketua Pegawai Eksekutif Islamic Relief Malaysia, Zairulshahfuddin Zainal Abidin berkata, terbaharu, pihaknya telah mengedarkan bantuan pek makanan, kit kebersihan dan lampin pakai buang untuk bayi kepada 170 keluarga Rohingya di Ampang, Selangor dan ia dilakukan secara berperingkat.

Kakitangan Islamic Relief Malaysia bersama salah seorang penerima manfaat sewaktu sesi agihan dijalankan

Menurutnya, hanya wakil lima keluarga sahaja dibenarkan hadir ke kawasan agihan dalam satu-satu tempoh masa manakala sewaktu sesi tersebut berlangsung, terdapat pihak Polis Diraja Malaysia memantau keadaan di sana.

“Sumbangan ini diberikan kepada penerima manfaat yang hilang punca pendapatan ekoran dibuang kerja selain masalah penutupan operasi tempat kerja mereka.

Iklan

“Antara pihak lain yang membantu Islamic Relief Malaysia dalam sesi penilaian penerima manfaat yang layak adalah persatuan Rohingya Youth Forum Development,” katanya.

Salah seorang penerima bantuan berkenaan, Mohd Miah berkata, dia berterima kasih kepada semua pihak yang prihatin dengan nasib golongan pelarian sepertinya.

“Sebelum ini saya bekerja mengambil upah mengecat rumah dan bangunan. Sekarang, saya tidak dapat bekerja lagi kerana keadaan pergerakan kita sangat terhad.

“Terima kasih atas bantuan yang diberikan dan terima kasih kerana prihatin akan nasib kami golongan pelarian ini. Bantuan ini sangat besar maknanya kepada kami sekeluarga,” katanya.

Menurut salah seorang ibu tunggal yang juga penerima manfaat bantuan Covid-19 daripada Islamic Relief Malaysia tersebut, Laila Hussin Kabir, juga melahirkan rasa syukur atas bantuan yang diberikan serta berterima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang sudi membantu mereka.

“Dahulu, saya ada dua orang anak yang membantu saya menampung perbelanjaan keluarga, tetapi sejak PKP dilaksanakan, anak saya yang kedua tidak dapat bekerja sepenuh masa kerana majikannya juga mengalami masalah kewangan.

“Sewa rumah juga kadangkala tertunggak. Sejak itu, kehidupan kami lima beranak semakin mencabar,” katanya

Orang awam yang ingin menyalurkan bantuan menerusi tabung Rayuan Covid-19 anjuran Islamic Relief Malaysia boleh melayari laman sesawang https://islamic-relief.org.my atau hubungi ibu pejabat Islamic Relief Malaysia di talian 03-8926 3434.

Iklan

Leave a Reply

%d bloggers like this: