Lawan Brazil, pengalaman paling besar Zamani Misbah

Selepas 20 tahun menabur bakti dalam dunia bolasepak, pertahanan kental negara, Norhafiz Zamani Misbah mengumumkan persaraannya baru-baru ini pada usia 40 tahun.

Sepanjang tempoh itu, beberapa pasukan telah diwakilinya, bermula dengan pasukan Negeri Sembilan diikuti antaranya Pahang, KL Plus, Kelantan dan Pulau Pinang dan mengakhiri kariernya dengan kembali bersama Negeri Sembilan.

Banyak kejayaan yang diperolehnya sepanjang beraksi tersebut antaranya juara Piala FA bersama Negeri Sembilan dan Pahang serta juara Piala Malaysia bersama Negeri Sembilan.

Ketika mewakili pasukan Negeri Sembilan pada 2011

Pemain yang pada awalnya beraksi di posisi tengah ini juga sering menjadi pilihan untuk menyarung jersi pasukan kebangsaan bermula tahun 2000 sehinggalah tahun 2012.

Iklan

Dia juga merupakan pemain utama skuad Sukan Sea 2001 Kuala Lumpur yang ketika itu dibimbing oleh Alan Harris yang memperoleh pingat Perak.

Norhafiz Zamani Misbah ketika ditemubual wartawan Astro Radio News.

Menerusi video temubual yang dimuat naik menerusi akaun Facebook Astro Radio News hari ini, Zamani yang mesra dipanggil Angah memberitahu, waktu bersama skuad tersebut dan beraksi pada Sukan Sea Kuala Lumpur 2001 adalah merupakan antara waktu paling indah dalam kariernya.

Norhafiz Zamani (depan, dua dari kanan) bersama skuad Sukan Sea 2001

“Bagi saya pasukan itu adalah paling indah dalam karier bolasepak saya, sebab dekat situ ada antara pemain pemain yang terbaik dalam Malaysia, ada Indra Putra, Shukor Adan, Akmal Rizal, cuma itulah, final kita tidak bernasib baik kita kalah dengan Thailand, tapi Sukan Sea itu cukup indah bagi saya,” katanya.

Sepanjang bersama skuad kebangsaan, Zamani juga berpeluang beraksi satu padang dengan pemain-pemain bertaraf dunia termasuklah ketika Malaysia menentang Brazil dalam aksi persahabatan pada 2002 dan juga menentang Manchester United pada 2009.

Kesebelasan utama skuad kebangsaan ketika menentang Brazil pada 2002.

Namun begitu, menurutnya, aksi menentang Brazil juga merupakan pengalaman amat besar baginya kerana dapat beraksi satu padang dengan pasukan juara Piala Dunia yang pada waktu itu dibarisi oleh gandingan 3R yang amat digeruni iaitu Ronaldo, Ronaldinho dan Rivaldo.

Beraksi semasa Malaysia menentang Brazil pada 2002

“Itu merupakan pengalaman yang amat besar dalam hidup saya, tak pernah terfikir saya boleh bermain dalam satu padang bersama bintang-bintang dunia. Perlawanan itu saya rasa adalah peluang untuk saya menonjolkan diri dan mestilah mahu tunjukkan sesuatu.

Norhafiz Zamani (kanan) ketika menghalang serangan Ronaldo dan Rivaldo pada 2002

“Walaupun orang cakap memang bertahan sahaja, tapi sebagai seorang pertahanan memang bangga sebab separuh masa pertama, kita kosong-kosong,” katanya lagi.

Selamat bersara Norhafiz Zamani Misbah, jasa anda tidak ternilai, selamat maju jaya dan teruslah taburkan jasa dengan melahirkan lebih ramai pemain berwibawa selepas terlibat menjadi jurulatih selepas ini.

Bagi anda yang mahu menonton video penuh temubual tersebut, boleh klik di link itu di sini. Astro Radio News dan di Twitter

Iklan

Leave a Reply

%d bloggers like this: