
Ketika sedang asyik layan Facebook, tiba-tiba lalu di timeline, satu poster mengenai Sambutan Hari Pekerja Pembersihan 2020, what?
Serius, aku tak pernah tahu ada hari buat pekerja pembersihan di negara ini. Aku terus buka page FB Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam- SWCorp, pemilik poster tersebut.

Kebetulan SWCorp ada kongsikan video temubual Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ismail Mokhtar dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia, jadi aku dengar sekejap sebab keinginan untuk tahu tentang Hari Pekerja Pembersihan ni membuak-buak. Ewah.

Ringkasan yang dapat aku tahu, yang boleh dikongsikan dengan korang ialah,
- Dipanggil sebagai Garbage Man Day dan disambut di seluruh dunia setiap 17 Jun.
- Mengikut kesesuaian negara ini, ia disebut sebagai Hari Pekerja Pembersihan.
- Sambutan Hari Pekerja Pembersihan diadakan adalah bertujuan mengiktiraf dan menghargai sumbangan pekerja-pekerja pembersihan selain meningkatkan motivasi mereka.
- Sambutan Hari Pekerja Pembersihan 2020 akan diadakan esok (17 Jun) di Ibu Pejabat SWCorp, Cyberjaya.
Menurut Ismail lagi, pekerja pembersihan di negara ini terdiri daripada mereka yang mengutip sampah, membersih longkang, memotong rumput dan membersih jalan.
Jadi kata beliau lagi, apabila Hari Pekerja Pembersihan ini diraikan, orang ramai dan masyarakat diharap dapat memberikan penghargaan kepada pekerja-pekerja ini semua dengan cara ucapkan terima kasih.
Sedikit maklumat tentang Garbage Man Day, ia telah diasaskan oleh John D. Arwood pada tahun 2011 bertujuan menghargai dan menghormati golongan lelaki dan wanita yang bekerja keras memastikan persekitaran orang ramai dalam keadaan bersih dan selamat.-KLIQ NEWS.
Sumber gambar dan grafik daripada akaun Facebook SWCorp.