
Penurunan berat badan ketara disebabkan corak pemakanan berubah ketika musim mengawan menjadi punca seekor singa jantan di Zoo Negara kelihatan kurus sehingga tular gambar haiwan itu di media sosial baru-baru ini.
Memetik laporan portal Astro Awani, Timbalan Presiden Zoo Malaysia, Rosly Ahmat Lana, berkata, singa Afrika jantan berusia 15 tahun itu yang diberi nama, Manja Kani, kadangkala tidak makan kerana berusaha untuk mengawan dengan singa betina, Manja Ela.

“Manja Kani dan Manja Ela dalam proses mengawan sejak kebelakangan ini dan itu yang menyebabkan Manja Kani kadang-kadang tidak makan.
“Ini perkara biasa bagi spesies panthera leo namun kes Manja Kani lebih ketara kerana dipengaruhi oleh singa betina yang enggan mengawan,” katanya.
Tambah Rosly lagi, kekurangan bekalan daging yang dihadapi Zoo Negara ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) turut menjadi punca kepada penurunan berat badan Manja Kani.

“Ketika itu, kami menukar diet kepada ayam kerana bekalan daging berkurang namun Manja Kani kurang berselera untuk makan. Walaupun begitu, ia sebenarnya sihat,” katanya.
Sebelum ini tular di media sosial, gambar seekor singa yang kelihatan kurus berbanding singa dewasa yang lain sehingga mencetus spekulasi dalam kalangan warganet mengenai keadaan di Zoo Negara.