Ahli perniagaan berdepan dakwaan curi dua juta topeng muka

schedule
2020-04-08 | 09:40h
update
2020-04-08 | 10:07h
person
kliqnewsmedia.com
domain
kliqnewsmedia.com
Ahli perniagaan berdepan dakwaan curi dua juta topeng muka

Oleh ISWAN SHAFIQ ISA

Umpama menangguk di air keruh.

Itu perumpamaan yang sesuai digunakan terhadap seorang ahli perniagaan yang ditahan selepas disyaki mencuri dua juta topeng muka daripada sebuah firma yang telah diisytiharkan bangkrap di Sepanyol, lapor portal Metro UK kelmarin.

Menurut pasukan penyiasat, suspek dipercayai mencuri topeng serta beberapa peralatan perlindungan peribadi lain termasuk sarung tangan untuk pembedahan di sebuah gudang di kawasan perindustrian Galicia di Santiago de Compostela, Sepanyol.

Advertisement

Difahamkan, suspek juga sempat menjual sebahagian daripada barangan curi itu kepada kenalannya di Portugal dan pihak berkuasa di sana telah pun dihubungi untuk membantu penyiasatan kes itu.

Kejadian itu dikatakan berlaku pada penghujung bulan Februari sebelum beribu-ribu pekerja hospital mula dijangkiti coronavirus atau Covid-19 ketika ratusan penduduk lagi mula kehilangan nyawa akibat pandemik itu di Sepanyol.

Kesan daripada insiden itu juga, kerajaan Sepanyol terpaksa mendapatkan topeng-topeng muka yang diimport dari China menerusi satu ‘pembelian kecemasan’.

Dalam pada itu, Naib Presiden wilayah Xunta de Galicia yang melawat lokasi penyembunyian topeng-topeng muka itu memberitahu, hanya kira-kira 100 daripada dua juta kotak topeng muka tersebut telah dibuka manakala selebihnya dalam keadaan yang baik.

“Selain topeng muka, kami turut menjumpai beberapa kotak kosong yang mengandungi sarung tangan khusus untuk tujuan pembedahan. Bagaimanapun, jumlah sebenar (sarung tangan) yang dilaporkan hilang masih belum diketahui,” ujar beliau.

Difahamkan juga, suspek tersebut telah dikenal pasti sebagai seorang pegawai tinggi berstatus pengarah di sebuah firma hartanah terkemuka di Sepanyol.

Ketika ini, menurut satu sumber mahkamah, suspek telah pun dibebaskan dengan jaminan sementara menanti kesnya didengar semula hujung minggu ini.

Siasatan lanjut berhubung kes itu bagaimanapun kini sedang giat dijalankan.

gambar:ETA/Solarpix

Advertisement

Imprint
Responsible for the content:
kliqnewsmedia.com
Privacy & Terms of Use:
kliqnewsmedia.com
Mobile website via:
WordPress AMP Plugin
Last AMPHTML update:
02.04.2026 - 08:03:49
Privacy-Data & cookie usage: