AntarabangsaPenternakanViral

Biri-biri berbulu seberat 33kg diselamatkan

Seekor kambing biri-biri yang hidup liar di sebuah hutan di Australia, telah diselamatkan anggota sukarelewan baru-baru ini selepas bulu pada haiwan tersebut terlalu tebal dan berat dan menghalang penglihatannya.

Diberi nama Baarack, keadaan biri-biri jantan itu disedari oleh orang awam yang kemudian memaklumkan kepada sukarelawan santuari tempatan, Edgar’s Mission di Lancefield, Australia.

Bulu Baarack yang tebal telah menghalang penglihatannya.- Sumber Facebook Edgar’s Mission

Biri-biri tersebut kemudian diselamatkan pasukan sukarelawan berkenaan yang kemudian membantu mencukur bulu biri-biri itu yang dianggarkan seberat 33 kilogram.

Hampir sejam masa diperlukan untuk mencukur bulu yang ada pada Baarack berbanding hanya beberapa minit diperlukan untuk proses yang sama pada biri-biri yang lain.

Difahamkan, berat bulu haiwan tersebut dianggarkan selepas lima tahun ia tidak dicantas sedangkan biri-biri perlu dicantas bulunya setiap tahun.

Keadaan Baarack selepas bulunya dicukur.

Bulu yang tidak dicukur boleh menyebabkan pengumpulan kutu yang akan menjejaskan kesihatan biri-biri selain boleh memperlahankan pergerakan binatang itu dan berpotensi menjadi sasaran haiwan pemangsa terutama jika hidup di rimba.

Baarack itu akan meneruskan kehidupan baharu di pusat perlindungan haiwan Lancefield di mana bulu badannya akan dicukur mengikut keperluan.

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
%d bloggers like this: