Digital Nasional Berhad (DNB) bertangungjawab membangunkan infrastruktur rangkaian 5G di seluruh negara, menggantikan konsortium 5G yang diperkenalkan sebelum ini yang terdiri daripada syarikat-syarikat telekomunikasi tempatan.
Fokus DNB, selain daripada membangunkan infrastruktur telekomunikasi ia turut memastikan bahawa spektrum rangkaian 5G diagihkan kepada syarikat-syarikat tempatan dengan tujuan membangunkan rangkaian 5G negara.
Mengalihkan fokus kepada syarikat-syarikat ini daripada membina infrastruktur tempatan, ia diharap dapat meringankan beban pelopor syarikat daripada kualiti infrastruktur serta memfokuskan penawaran rangkaian 5G yang terbaik untuk rakyat Malaysia.
YTL Communications, melalui perkhidmatan telekomunikasi YES, yang mempunyai perkhidmatan 5G nya di pasaran terpilih di Lembah Klang, menjadikannya syarikat telekomunikasi Malaysia pertama yang meningkat jaringan perkhidmatan 5G Malaysia oleh DNB.
Ketua Pegawai Eksekutif, YTL Communications Sdn. Bhd., Wing K Lee berkata, ketersediaan 5G yang disokong ekosistem DNB yang kukuh akan mempercepatkan liputan dan pelaksanaan 5G di seluruh negara.
Katanya, inisiatif jaringan 5G YTL dengan jaringan bersama kerajaan menerusi DNB akan memacu negara ke arah masa depan digital dan terhubung.
Jelasnya lagi, kewujudan YES menjadikan pengalaman seharian lebih mudah dan lebih baik bagi semua orang, dengan memanfaatkan teknologi yang mengutamakan masa depan, di tambah dengan aplikasi dunia sebenar.
Lee berkata, YTL Communications, memainkan peranan dalam membantu Malaysia mencapai potensi sepenuhnya dengan memastikan lebih ramai rakyat Malaysia mempunyai akses 5G, dengan menyediakan akses 5G dan peranti berdaya 5G yang tersedia dengan pelan yang tiada tandingan.
Dalam pada itu, penawaran perkhidmatan rangkaian 5G oleh DNB kepada syarikat-syarikat telekomunikasi ini akan diselia oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk memastikan ketelusan daripada segi penjualan dan pembelian di antara kedua-dua pihak.
Ketua Pegawai Eksekutif, DNB, Ralph Marshall pula berkata, YTL Communications Sdn. Bhd. dan Telekom Malaysia Bhd (TM) bagi pihak Unifi Mobile dan mewakili YES akan menjadi dua pengendali pertama di negara ini yang menyediakan akses 5G kepada pelanggan masing-masing di kawasan liputan.
“Kami gembira mengalu-alukan TM dan YTL Communications selaku pelanggan terawal kami bagi rangkaian 5G di Malaysia.
“TM adalah penyedia telekomunikasi paling lama di negara ini, memperkenalkan perkhidmatan telekomunikasi sejak hampir 40 tahun lepas pada 1984 manakala YTL Communications merupakan penyedia rangkaian 4G paling baharu dan satu-satunya di Malaysia,” katanya.
Menurut Ralph, kedua-dua penyedia mempunyai hampir 4.5 juta pelanggan dengan purata permintaan data bulanan antara 40 hingga 50GB bagi setiap pelanggan
Sementara itu, bersempena dengan pelancaran 5G di Malaysia, YES melancarkan siri Pelan YES #FirstTo5G khas yang merangkumi akses 5G tanpa had sehingga 1 April 2022.
Pelanggan yang mendaftar untuk mana-mana pelan ini akan memperoleh pengalaman teknologi mudah alih generasi kelima dan terkini yang menawarkan kelajuan lebih tinggi, liputan yang lebih dipercayai, mengurangkan kependaman, dan kapasiti rangkaian yang hebat dengan telefon yang disokong 5G.
Kawasan liputan 5G semasa termasuk Putrajaya, Cyberjaya dan sebahagian pusat bandar Kuala Lumpur, dengan rancangan untuk berkembang ke seluruh Lembah Klang menjelang akhir 2022.
YES juga kini sedang bekerjasama dengan gergasi teknologi global merentas industri untuk membawa inovasi bertaraf dunia kepada rakyat Malaysia, termasuk CloudMinds, Zoom, Tencent Lenovo dan Qualcomm.
Melalui perkongsian ini, Lee berkata YES sedang mengintai peluang untuk membangunkan dan menggunakan penyelesaian 5G termaju di Malaysia