Wajarkah kejayaan Liverpool dicemburui?
Ketika artikel ini ditulis, Liverpool baru sahaja dinobatkan sebagai juara Liga Perdana Inggeris yang baharu secara tidak rasmi tanpa perlu turun beraksi di atas padang. Ya, pasukan lain yang menang, Liverpool pula yang ditabal selaku juara. Pasukan lain ‘sakit hati’, pasukan lain pula yang bergembira. Itulah lumrah dalam dunia bola sepak sekarang.
Bola sepak itu sebenarnya umpama politik kerana ada sepak terajangnya yang tersendiri walaupun sepak (bukan terajang) adalah kemahiran yang wajib ada ketika bermain bola. Kalau politik itu dianggap sebagai ‘art of possibilities’, maka, bola sepak pun hampir sama. Kata orang, bola itu bulat, padang itu empat segi. Apa sahaja boleh terjadi.
Berbalik kepada Liverpool, umum mengetahui bahawa pasukan dari Merseyside itu sarat dengan rekod kejayaan masa lampau sehingga kisah itu pernah diabadikan dalam History Channel. Bagaimanapun, tidak banyak kejayaan diperoleh ketika era milenium atau sebelum kedatangan The Normal One, Jurgen Klopp secara umumnya meskipun pasukan Liverpool ketika itu dibarisi oleh deretan bintang ternama dalam sukan bola sepak.
Antara kejayaan yang paling diingati ketika era milenium pastinya Champions League 2005 di Istanbul, Turki apabila skuad bimbingan Rafael Benitez ketika itu bangkit daripada ketinggalan tiga gol sebelum menyamakan kedudukan dan menang berdasarkan penentuan sepakan penalti ke atas AC Milan.
Liga Inggeris? Hurmmm. Kali terakhir menang pun tiga dekad yang lalu iaitu ketika musim 1989/1990. Ketika itu, perkataan Liga Inggeris masih diguna pakai manakala istilah Liga Perdana Inggeris (EPL) pula hanya diperkenalkan kira-kira dua tahun kemudian. Walhal, kedua-duanya adalah liga yang sama untuk kelab-kelab bola sepak di England. Cuma, namanya sedikit berbeza. Itu saja.
Justeru, tidak hairanlah sekiranya para penyokong Liverpool atau The Reds di seluruh dunia berpesta apabila pasukan kesayangan mereka menang EPL walaupun pandemik coronavirus atau COVID-19 masih belum hilang sepenuhnya. Tiga puluh tahun tak menang liga bro. Bagi ‘chance’ lah sikit. Haha.
Kejuaraan liga yang julung kali dimenangi itu sebenarnya muncul hanya selepas anak-anak buah Klopp menjulang tiga kejuaraan pada peringkat antarabangsa secara berturut-turut ialah Piala Eropah, Piala Kelab-Kelab Dunia FIFA dan UEFA Super Cup. ‘Power’ kan?
Penulis tahu bahawa ketika ini Liverpool merupakan antara kelab bola sepak yang paling dicemburui di dunia. Apa tidaknya, hampir semua posisi pemainnya musim ini boleh dikatakan mantap dan jarang menimbulkan masalah. Lebih menarik, hampir kesemua pemain utama dalam skuad utama mereka juga telah menjaringkan gol sama ada bergelar pemain pertahanan, tengah, serangan, ‘playmaker’, ‘winger’.. kecuali penjaga gol lah.
Jadi, wajarkah Liverpool dicemburui musim ini? Soalan ini mungkin agak ‘cliche’ dan akan dibenci oleh para ‘haters’ The Reds. Tapi, itulah. ‘Haters gonna hate’. Buat atau tunjuk macam mana pun kalau dah tak suka tu, macam-macam alasan akan diberikan. Biasala tuh.
Jadi, sama ada anda semua suka atau tidak, penulis akan tetap senaraikan beberapa kelebihan Liverpool terutamanya sepanjang musim ini sehingga membuatkan pasukan itu wajar dicemburui. Jadi, kepada para ‘haters’ sekalian tu, ‘take positive’. ‘Next years maybe yours’ pula. (Bukan perli tau. Ni ikhlas. Haha)
Ketika ini, umum juga mengetahui bahawa sehebat mana sekalipun Liverpool, ramai penyokong atau peminat bola sepak terutamanya Arsenal percaya bahawa skuad ‘The Invincibles’ mereka (musim 2003/04) adalah yang terhebat dalam sejarah Liga Inggeris kerana tidak pernah kalah langsung dalam tempoh semusim. Menang 26 kali dan seri 12 kali. Kau mampu?
Ya, Liverpool pastinya tidak akan mampu memecahkan rekod tersebut kerana sudah tewas sekali musim ini. Tapi perlu diingat, berbaki tujuh perlawanan, masih banyak rekod yang boleh dicipta oleh The Reds selain dinobatkan selaku juara paling awal dalam sejarah EPL iaitu ketika aksi di padang masih berbaki tujuh perlawanan lagi.
Selain tidak pernah kalah dalam semua 16 perlawanan liga di tempat sendiri musim ini (total 23 perlawanan termasuk kejohanan lain), Liverpool juga berpeluang memintas rekod pungutan mata Manchester City (2017/18) iaitu sebanyak 100 mata dengan pungutan mata keseluruhan sebanyak 107 mata. Itupun jika menang kesemua baki perlawanan termasuk menentang City selaku juara bertahan di Etihad, 2 Julai ini.
Pada masa yang sama, Liverpool juga hanya memerlukan lima kemenangan daripada baki tujuh perlawanan untuk mencalarkan rekod 32 kemenangan liga City yang juga dicatatkan pada musim 2017/2018. Hurmm. Padu.
Bagi pencapaian individu pula, Mohamed Salah dilihat berpeluang cerah untuk melakar sejarah menjulang anugerah Kasut Emas buat kali ketiga berturut-turut sekali gus mengatasi pencapaian cemerlang bekas penyerang terbilang Liverpool iaitu Micheal Owen (musim 1997/98 dan musim 1998/99).
Selain Salah dan Owen, dua lagi bintang Liverpool yang pernah menjulang Kasut Emas ialah Luis Suarez (2013/14) dan Sadio Mane yang berkongsi kejayaan Kasut Emas bersama Salah dan penyerang Arsenal, Pierre-Emerick Aubameyang pada musim lepas.
Rasanya, cukuplah setakat ini penulis bercakap mengenai kejayaan Liverpool. Biasalah, ‘haters gonna hate’. Tapi tidak salah jika kita ambil pengajaran daripada usaha selama tiga dekad pasukan itu untuk kembali memenangi kejuaraan liga dan bagaimana mereka menggembleng tenaga muda sebagai pelapis terbaik untuk masa depan sukan bola sepak dan sebagainya.
Selain Liverpool, skuad bola Sepanyol juga boleh dijadikan contoh yang baik untuk pembangunan bola sepak negara. Walaupun sering tidak bernasib baik dalam kebanyakan kejohanan kompetitif di peringkat antarabangsa sejak kali terakhir memenangi Kejohanan Eropah pada 1964 hingga pertengahan tahun 2000, Sepanyol tidak jemu-jemu mengasah bakat muda mereka sehingga akhirnya berjaya memenangi dua Kejohanan Eropah berturut-turut iaitu pada 2008 dan 2012 selain Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan.
Jadi, apa tunggu lagi. ‘Man jadda wa jadda’. Ayuh bangkit!