
Seorang individu pemandu lori yang disyaki membuang sisa sampah di Jambatan Sungai Wak Rabun Batu 33, Pontian, Johor, sudah ditahan dan diambil keterangan oleh pihak polis semalam.
Perkara berkenaan dimaklumkan oleh Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat yang turut memberitahu, individu berkenaan merupakan lelaki warga tempatan berusia 52 tahun.
Kata beliau, lelaki itu ditahan di sekitar bandar Pontian kira-kira pukul 7 petang semalam selepas lima jam usaha pencarian dijalankan.
Tambah Kamarul Zaman, suspek seterusnya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian dan ujian saringan awal air kencing mendapati suspek negatif dadah.
“Bagaimanapun, semakan mendapati dia mempunyai banyak rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah,” katanya.
Semalam, tular video memaparkan seorang pemandu lori memberhentikan lori bernombor pendaftaran JEL5338 di atas jambatan.
Pemandu lori itu kemudian dilihat memikul sampah daripada kenderaan itu dan membuangnya dari atas jambatan berkenaan ke dalam sungai.
Sementara itu, Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man turut memberikan respon tentang kejadian tersebut.
“Tindakan kompaun dan saman akan dikenakan, Jabatan Alam Sekitar (JAS) juga telah meminta Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal untuk mengambil tindakan susulan.
“Terima kasih rakan netizen, JAS Johor dan PDRM,” katanya menerusi akaun media sosialnya hari ini.
