Berita Am

Belia Felda perlu rebut inisiatif PENJANA

Golongan belia di negara ini termasuk lebih kurang dua juta belia Felda dari 317 tanah rancangan perlu merebut peluang hasil daripada inisiatif Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).

Diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini, PENJANA merupakan pelan yang diwujudkan bagi memacu kembali ekonomi Malaysia ekoran pandemik COVID-19.

Presiden Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM), Muhammad Fadzli Hassan berkata, golongan belia menerima manfaat besar daripada PENJANA melalui 40 inisiatif keseluruhan yang bernilai RM35 bilion.

Tambahnya, komitmen kerajaan untuk merealisasikan agenda no one will be left behind (tiada yang akan dipinggirkan) dapat dilihat dengan secara spesifik dan tumpuan terhadap belia dinyatakan pada poin 25 hingga 27.

Presiden MBFM, Muhammad Fadzli Hassan

“Isu pengangguran belia, meningkatkan kebolehpasaran graduan, peningkatan kemahiran belia yang sedang menganggur termasuklah program latihan dan penempatan (place and train), pelaksanaan kursus jangka pendek di institusi-institusi terpilih dan subsidi latihan diberikan perhatian khusus dengan peruntukan yang signifikan.

“Lebih kurang dua juta belia Felda daripada 317 tanah rancangan diharapkan dapat merebut tawaran ini disamping limpahan inisiatif lain yang ditawarkan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Muhammad Fadzli yang juga merupakan Timbalan Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) menambah, geran RM75 juta untuk mengembangkan platform ekonomi lejang (gig economy) sebagai horizon baru sektor ekonomi juga diyakini memberi faedah besar kepada belia.

Muhyiddin ketika mengumumkan PENJANA dalam perutusan khas baru-baru ini.

“Mengambil maklum golongan digital nomad daripada golongan ini adalah pemain utama (key player) terhadap sektor baru ini yang menggalakkan pekerjaan berteraskan atas talian.

“Ia secara langsung dan tidak langsung membantu mereka, mendepani fasa pemulihan pandemik ini.

“Secara keseluruhannya 68 peratus daripada keseluruhan tenaga kerja di Malaysia adalah golongan belia yang akan menerima manfaat daripada pelan yang dibentangkan,” katanya lagi.

Sehubungan itu, tambahnya, MBFM sekali lagi menyeru belia Felda untuk cakna dan merebut peluang yang telah ditawarkan.

“Keprihatinan kerajaan terhadap rakyat pelbagai golongan patutlah kita syukuri dengan azam dan kesungguhan untuk memastikan kemandirian ekonomi dapat terus diperkukuhkan,” katanya.- KLIQ NEWS

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
%d bloggers like this: