Selepas Malaysia dijangka menerima bekalan pertama vaksin Covid-19, Pfizer-BioNTech pada 26 Februari ini, 14 juta dos vaksin Sinovac daripada pembekal Sinovac Biotech Co Ltd, Cansino Biologics Inc dan Sinopharm China National Biotech Group Co Ltd (CNBG) pula akan diterima berperingkat bermula April ini.
Penerimaan vaksin tersebut adalah bagi Program Vaksinasi Negara secara percuma dengan permulaan sejuta dos akan diberikan dan diikuti dua juta dos bagi bulan berikutnya sehingga Oktober 2021.
Pengarah Urusan Pharmaniaga Bhd (Pharmaniaga), Datuk Zulkarnain Md Eusope berkata, rakyat Malaysia tidak perlu bimbang kerana formula vaksin terbabit terbukti selamat melalui ujian klinikal.
Ujarnya permohonan untuk kebenaran mendapatkan vaksin juga telah dihantar bagi tujuan kecemasan dan dijangkakan awal April 2021 vaksin berkenaanber sedia untuk dibekalkan ke Malaysia.
“Di Indonesia dan Turki, vaksin ini sudah diluluskan dan dicuba oleh Presidennya, Joko Widodo dan Recep Tayyip Erdogan. Selain Malaysia, Singapura dan Filipina juga akan mendapatkan vaksin Sinovac Covid-19 dari China,” katanya.
Mengenai status halal vaksin berkenaan, Zulkarnain berkata, vaksin dari China itu sudah menerima pengiktirafan halal daripada Majlis Ulama Indonesia.