Vaksin Covid-19: Malaysia bukan terawal tetapi tidak terlewat
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin memaklumkan, bahawa Malaysia masih lagi ‘on-track’ untuk menerima bekalan pertama vaksin pada bulan Februari ini.
Katanya, ramai yang mempersoalkan kelewatan Malaysia untuk menerima vaksin berkenaan ketika negara jiran lain sudah memperolehnya, namun ujarnya, tempoh masa berkenaan telahpun dipersetujui dalam rundingan bersama Pfizer pada November 2020.
“Apabila diterima kelak, Malaysia sebenarnya masih lagi menjadi antara negara terawal di Asia Pasifik yang mendapat akses kepada vaksin Covid-19,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan menerusi laman web khairykj.com hari ini.
Beliau yang Pengerusi Bersama Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 menambah, Singapura mampu memulakan proses vaksinasi kepada rakyatnya lebih awal kerana negara itu berkeupayaan untuk meletakkan wang pendahuluan yang besar kepada calon-calon vaksin.
Negara tersebut juga telah menyediakan peruntukan sebanyak S$1 bilion bagi menyediakan vaksin kepada populasi mereka.
“Dengan kata lain, Singapura telah memeterai perjanjian pembelian awal vaksin COVID-19 pada harga premium sebelum data ujian klinikal dikeluarkan,” katanya.
Jelasnya, Indonesia pula menjadi negara pertama yang meluluskan penggunaan vaksin Sinovac dan telah menerima vaksin tersebut lebih awal kerana mereka menjadi lokasi ujian klinikal fasa ketiga bagi vaksin tersebut.
“Ini bermakna proses pendaftaran dan kelulusan vaksin tersebut menjadi lebih pantas, susulan data ujian klinikal adalah daripada ujian yang dijalankan di negara mereka sendiri.
“Jadi tidak hairanlah Sinovac akan mengutamakan negara-negara yang menjalankan ujian klinikal bagi vaksin keluaran mereka,” kata Ahli Parlimen Rembau itu lagi.
Jadi kenapa Malaysia tidak mejadi lokasi ujian klinikal bagi vaksin Sinovac? Khairy menjelaskan, ujian klinikal vaksin Sinovac bermula pada tahun lalu dan semasa Malaysia menawarkan kepada pihak Sinovac untuk menjadi lokasi ujian klinikal, jumlah kes positif dan kadar jangkitan di Malaysia adalah sangat rendah.
“Oleh itu, Sinovac tidak menyenaraikan Malaysia ke dalam program ujian klinikal fasa ketiga mereka kerana ujian klinikal hanya berkesan di lokasi yang mempunyai kes serta kadar jangkitan yang tinggi, jelasnya lagi.
Khairy menambah, memang benar Malaysia bukanlah antara negara pertama yang menerima vaksin Covid-19 namun Malaysia sebenarnya tidak lewat dalam hal itu.
“Banyak negara maju lain yang telah menerima bekalan vaksin. Tetapi mereka dapat berbuat demikian kerana mereka mempunyai ruang kewangan yang lebih besar untuk membuat pembelian awal dengan wang pendahuluan yang tinggi sebelum data keselamatan dan keberkesanan diterbitkan.
“Tetapi Malaysia tidaklah ketinggalan. Sebagai perbandingan, Jepun telah membuat tempahan vaksin Pfizer pada Julai 2020 tetapi hanya akan menerima vaksin tersebut pada bulan Februari, iaitu pada bulan yang sama dengan Malaysia.
“Manakala Korea Selatan pula telah membuat tempahan vaksin tersebut pada bulan Disember 2020 (sebulan selepas Malaysia) dan dijadualkan menerimanya hanya pada suku ketiga tahun ini,” katanya.
Menurut Khairy, Malaysia telah membuat keputusan perolehan berdasarkan penelitian kepada ujian klinikal tanpa perlu membayar harga premium atau wang pendahuluan yang tinggi.
“Keputusan ini juga membolehkan Malaysia untuk melihat serta menilai proses vaksinasi yang dilaksanakan di negara-negara lain agar apabila tiba waktu Malaysia melaksanakan vaksinasi, kita mampu melaksanakannya secara teratur dan berkesan,” tambahnya.
Jelas beliau, tidak ada mana-mana negara pun yang akan menerima kesemua vaksin yang ditempah secara serentak sebaliknya, vaksin ini akan tiba mengikut suku tahunan.
“Untuk vaksin keluaran Pfizer yang telah ditempah Malaysia, satu juta dos akan diterima pada suku pertama, 1.7 juta pada suku kedua, 5.8 juta pada suku ketiga dan 4.3 juta pada suku keempat.
“Keadaan ini juga adalah sama dengan vaksin-vaksin keluaran syarikat lain yang telah ditempah. Inilah realiti apabila jumlah permintaan melebihi kapasiti pembuatan dan pengeluaran,” jelasnya.
Tambah Khairy, Jawatankuasa Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 juga telah membuat perancangan vaksinasi mengikut senarai keutamaan dengan matlamat pertama adalah untuk melindungi kumpulan yang paling berisiko tinggi iaitu petugas barisan hadapan dalam sektor kesihatan dan keselamatan.
“Ini seterusnya disusuli dengan warga emas dan individu berpenyakit kronik. Hanya selepas itu, baharulah populasi dewasa lain diberikan vaksin bagi membentuk imuniti kelompok.
“Jika anda adalah seorang dewasa yang sihat di bawah umur 60 tahun dan bukan petugas barisan hadapan, jangkaan paling awal anda akan menerima vaksin hanyalah pada suku ketiga tahun ini. Ini juga keadaan yang berlaku di negara-negara lain,” tambahnya.
Jelasnya, sangat penting untuk rakyat mengurus jangkaan atau ‘manage expectations’ kerana enghantaran pertama pada bulan Februari bukanlah bermakna semua orang akan menerima vaksin pada bulan tersebut juga.
“Jangkaannya, pelan vaksinasi di Malaysia akan mengambil masa sehingga 18 bulan. Sementara kita cuba melaksanakan vaksinasi dalam tempoh satu tahun, kita juga harus realistik dalam hal ini,” tambahnya.