Berita Am

Randoseru, beg sekolah Jepun

Jika anda biasa menonton rancangan animasi dari Jepun, seperti Doraemon atau Chibi Maruko Chan, adakah anda perasan beg sekolah yang digunakan watak-watak animasi tersebut?

Setiap daripada mereka menggunakan bentuk beg sekolah yang sama, kebiasaannya warna hitam untuk kanak-kanak lelaki manakala beg bewarna merah pula untuk kanak-kanak perempuan, ada juga bewarna biru tua.

Beg galas untuk murid sekolah rendah ini digelar sebagai Randoseru di Jepun. Setiap kanak-kanak di negara itu pasti memilikinya.

Walaupun rekaannya nampak biasa tetapi ia mempunyai keistimewaan sendiri, dipakai sejak sekian lama, malah harganya pula tidak kurang mahalnya.

Diperbuat daripada kulit berkualiti tinggi, Randoseru ini juga biasanya adalah buatan tangan dan untuk memilikinya, ibu bapa di Jepun perlu membelanjakan di antara 30,000 hingga 100,000 yen bagi sebuah beg, bergantung kepada jenama dan reka bentuknya.

Ia bermaksud harganya adalah di antara RM 1,200 hingga RM4,000! Wah, mahal sungguh. Oleh itu tidak hairanlah, beg galas sekolah ini digunakan oleh murid-murid sekolah rendah ini selama enam tahun.

Diperbuat daripada kulit berkualiti tinggi, Randoseru ini juga biasanya adalah buatan tangan

Betul juga, kalau tiap-tiap tahun tukar beg sekolah, mahu pengsan mak ayah rasanya.

Jadi apa maksud Randoseru?

Difahamkan, Randoseru sudah ada sejak akhir zaman Edo iaitu sekitar tahun 1853 ketika Jepun mula dipengaruhi oleh barat termasuk oleh pasukan tenteranya.

Beg sandang yang digunakan askar Belanda.

Randoseru adalah sebenarnya berasal daripada perkataan ‘ransel’ (beg sandang) dalam bahasa Belanda dan pada mulanya ia diperkenalkan oleh tentera Belanda kepada tentera Jepun.

Kemudian, pada tahun 1885, beg sandang ini dicadangkan oleh pemerintah pada waktu itu untuk digunakan di sekolah-sekolah untuk golongan elit dan bangsawan.

Malah putera mahkota Jepun juga menggunakan Randoseru ke sekolah, dengan salah satu tujuannya adalah untuk menghormati tentera Jepun.

Namun begitu, pada awalnya beg ini hanya popular dan terhad di kawasan bandar kerana kebanyakan kanak-kanak masih menggunakan kain furoshiki untuk membawa buku-buku mereka.

Furoshiki, seni membalut dari Jepun.

Menjelang tahun 1960-an, barulah penggunaan Randoseru ini tersebar ke seluruh negara selari dengan pertumbuhan ekonomi Jepun yang pesat pada ketika itu.

Sesuai dengan postur tubuh kanak-kanak

Antara sebab mengapa harga Randoseru ini agak mahal adalah kerana ia diperbuat dengan mengambil kira keselesaan dan tidak memberikan kesan negatif semasa ia digunakan oleh murid-murid sekolah.

Reka bentuk beg ini dibuat kukuh untuk membentuk postur yang sesuai dengan perkembangan tubuh kanak- kanak. Ia dihasilkan dengan mempunyai lapisan seperti bantal lembut di bahagian belakang yang dapat mengurangkan beban tulang belakang dan penggunaan tali yang sesuai.

Reka bentuk beg ini dibuat kukuh untuk membentuk postur yang sesuai dengan perkembangan tubuh kanak- kanak

Ia dihasilkan agar dapat memberikan keselesaan kepada murid sama ada ketika duduk dan bersandar serta memudahkan pergerakan. Randoseru ini juga dihasilkan agar kanak-kanak dapat membiasakan diri secara tegak dan tidak membongkok.

Tidak seperti banyak negara lain di mana selalunya ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka ke sekolah dengan kereta ataupun murid-murid ini menaiki bas sekolah, di Jepun, kanak-kanak biasanya akan berjalan kaki ataupun menaiki tren untuk ke sekolah.

Di Jepun, kanak-kanak biasanya akan berjalan kaki ataupun menaiki tren untuk ke sekolah.

Oleh itu, penting buat mereka untuk mempunyai beg yang baik, dapat menyimbangkan berat serta tidak memberikan kesan negatif terhadap postur badan.

Teknologi terkini

Setiap Randoseru juga mempunyai bukaan yang luas sekali gus memudahkan murid untuk mengambil buku latihan mereka tanpa bimbang terlipat atau renyuk.

Malah sesuai dengan perkembangan teknologi terkini, penciptaan Rondoseru semakin di tambah baik dari semasa ke semasa.

Ia kini dilengkapi dengan faktor keselamatan seperti butang GPS yang berhubung terus dengan ibu bapa di rumah, sekolah dan balai polis. Butang GPS itu mudah ditekan oleh kanak-kanak sekiranya mereka berada dalam keadaan bahaya dan memerlukan bantuan.

Randoseru kini juga dapat memantulkan cahaya sehinggakan pemandu kenderaan akan lebih berhati-hati apabila berhampiran dengan kanak-kanak yang memakainya.

Bahan dalam penghasilan Randoseru kini juga dapat memantulkan cahaya sehinggakan pemandu kenderaan akan lebih berhati-hati apabila berhampiran dengan kanak-kanak yang memakainya.

Beg sandang ini juga direka sesuai sebagai pelindung kepala sekiranya terjadi gempa malah turut mampu menjadi pelampung ketika banjir.

Randoseru sebagai pelindung kepala ketika berlakunya gempa

Ibu bapa juga boleh membeli penutup plastik yang dapat menutup Randoseru daripada terkena hujan dan melindungi beg daripada calar.

Gaya baharu Randoseru.

Perkembangan zaman dan gaya fesyen masa kini telah menyaksikan Randoseru juga banyak digunakan oleh orang dewasa. Ia semakin popular dan mempunyai peminatnya sendiri dari seluruh dunia.

Kini ia telah dihasilkan dengan pelbagai corak dan motif yang menarik malah jenama-jenama terkenal antarabangsa seperti Nike dan Puma turut mengeluarkan Rondoseru mereka sendiri.

Pelbagai jenama terkenal turut menghasilkan Randoseru.

Beg galas Jepun ini juga difahamkan semakin mendapat permintaan daripada rakyat Malaysia yang melancong dan bercuti di Jepun.

Mereka pasti tidak melepaskan peluang untuk ‘menyambar’ Randoseru ini. Ada yang kata, sekiranya dapat yang ‘second hand’ pun sudah berbaloi kerana kualiti Rondoseru sememangnya tidak dapat diragui. -KLIQ NEWS.

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
%d bloggers like this: