UMNO sudah jangka keputusan Pas
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahidi menyifatkan keputusan Pas untuk terus bersama dengan Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sesuatu yang sudah dijangkakan.
Sehubungan itu beliau berkata, UMNO bersama Barisan Nasional (BN) akan terus bergerak solo pada pilihan raya umum akan datang.
“Hakikatnya, UMNO tidak pernah menutup pintu kepada sebarang usaha murni ke arah penyatuan ummah yang berteraskan nilai keikhlasan dan kejujuran.
“Dengan keputusan ini, UMNO bersama BN akan terus bergerak solo dengan mengekalkan imej parti yang sentiasa berpaksikan kesederhanaan dan mampu menawarkan kestabilan serta kemakmuran kepada rakyat berbilang kaum dan agama dalam negara ini,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Terdahulu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam kenyataan memaklumkan, Pas membuat keputusan untuk memperkukuhkan kerjasama dalam PN untuk menghadapi PRU15 atas prinsip penyatuan ummah.
Beliau berkata, keputusan tersebut hasil Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pas Pusat yang diadakan pada hari ini.
Kata beliau, mesyuarat turut memuktamadkan perbincangan kerusi-kerusi di negeri dengan PN dan menetapkan senarai calon dari negeri perlu diangkat untuk penilaian Majlis Syura Ulama.
Tambahnya, pendirian bahawa Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Terengganu dan Kedah tidak dibubarkan juga adalah dikekalkan.
Sementara itu, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kenyataan respon menghargai keputusan Jawatankuasa PAS Pusat berkenaan.
“Keputusan ini memberikan suntikan semangat kepada PN untuk bergerak dengan lebih tersusun dan bersatu-padu dalam meraih sokongan rakyat,” katanya.
Hakikatnya, UMNO tidak pernah menutup pintu kepada sebarang usaha murni ke arah penyatuan ummah yang berteraskan nilai keikhlasan dan kejujuran.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi