Akhirnya, Malaysia kini menuju ke fasa pemulihan susulan daripada penularan pandemik Covid-19 dan mulai esok, negara kita berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sehingga 31 Ogos 2020.
Ia selepas kerajaan memutuskan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac 2020 diikuti Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sejak 4 Mei 2020.
Ingatlah, tempoh PKP dan PKPB lalu merupakan detik sukar yang pernah kita tempuhi bersama, jangan sesekali kita lupa.
Dalam tempoh itu, ramai dalam kalangan ahli keluarga, saudara mara, sahabat handai, jiran-jiran kita dalam sekelip mata kehilangan kerja dan sumber pendapatan mereka.
Mereka ini melalui hari-hari yang penuh kesukaran, hati itu sentiasa gelisah gundah, kepala serabut berfikir.
Lebih-lebih lagi menjelang perayaan Aidilfitri baru-baru ini, ramai daripada mereka tidak punya cukup wang di tangan, mujurlah lebaran kali ini berbeza sama sekali.
Semuanya disambut serba sederhana, tiada keperluan sangat untuk sediakan baju baharu untuk ahli keluarga, kuih dan biskut raya pula kali ini tidak penuh di meja.
Namun sedikit sebanyak, belanja mesti perlu ada, daging dan ayam mesti dibeli buat juadah di pagi raya.
Apabila PKPP diumumkan oleh Perdana Menteri baru-baru ini, ramai yang tarik nafas lega, gembira boleh kembali berniaga, ada yang boleh mula mencari kerja.
Selepas slogan Kita Jaga Kita popular sepanjang melalui PKP dan PKPB, apa kata Kita Bantu Kita diguna untuk PKPP ini pula.
Ini kerana sudah ramai yang memilih untuk berniaga, ada yang menjual makanan, ada yang menjual pakaian kerana itulah sahaja cara untuk mereka dapat segera pulangan.
Jadi, apalah salah kita bantu mereka dengan sedaya mampu.
Bantuan kita itu, bukan sahaja akan beri sedikit pendapatan, tetapi lebih penting dapat bantu berikan pengharapan serta semangat.
Semangat supaya mereka tidak dan jangan putus asa.
Seperti kata seorang rakan bernama Mimie Zulkifli di akaun Facebook miliknya, dia berkata, ketika ini demi kelangsungan hidup, sudah ramai memilih berniaga daripada menunggu kerja yang tidak kunjung tiba.
“Jadi kita yang masih ada kerja ni, apakah salah berkongsi promosi di laman FB, kita usaha apa yang kawan kita berniaga, ala kongsi je pun, bukan kena bayar.
“Kalau dengan perkongsian kita, perniagaan kawan kita jadi lebih berjaya, jangan pula ada rasa-rasa.
“Kita ni jangan pula beli minta kurang harga, dia tu kan baru nak mula berniaga. Hari ini dia yang hilang kerja, kita pula entah macam mana,” katanya.
Berniaga ini bukannya mudah, kalau tak cekal hati memang mudah mengalah. Kita bantu, kita doa, yang lain-lain kita sama-sama berserah.-KLIQ NEWS.