Baru-baru ini Seremban telah dipilih sebagai salah satu daripada 10 bandar paling bahagia di negara ini.
Sembilan bandar lain yang turut dipilih ialah Bandar Melaka, Kuala Terengganu, Kulai, Taiping, Kuantan, Bentong, Jasin, Yan dan Jeli.
Pemilihan 10 bandar ini adalah hasil Kajian Indeks Kebahagian yang telah dilaksanakan pihak PLANMalaysia bermula pada tahun 2013 hingga 2019.
Ia melibatkan jumlah keseluruhan responden melebihi 60,000 orang di seluruh Malaysia.
Antara komponen yang dilihat dalam kajian tersebut adalah, tahap kehidupan dan kesihatan; kebahagian bersama keluarga dan saudara mara; hubungan dengan jiran; kemudahan awam dan infrastruktur asas yang disediakan serta kualiti alam sekitar.
Di bandar Seremban, antara lokasi popular dan menjadi tumpuan warganya untuk beriadah dan bersantai adalah di Taman Tasik Seremban, terletak di tengah-tengah bandar Seremban.
Ia merupakan salah satu daripada taman tasik semula jadi tertua di negara ini, telah wujud sejak tahun 1900.
Berjogging serta berlari mengelilingi dua tasik merupakan aktiviti utama pengunjung di sini.
Selain itu, ramai juga yang datang sekadar mahu meluangkan masa bersama keluarga dan rakan-rakan.
Mereka duduk-duduk berbual santai dikelilingi pemandangan hijau landskapnya, cukup mendamaikan dan memberi ketenangan.
Menyedari potensi Taman Tasik Seremban sebagai lokasi tumpuan masyarakat terutama pada hujung minggu, Majlis Bandaraya Seremban kini dalam usaha menyediakan satu lagi daya tarikan ke lokasi tersebut.
Ia adalah dengan kehadiran permainan-permainan dan aktiviti air. Berdasarkan laman Facebook Pesona Seremban, beberapa gambar telah dimuat naik yang menunjukkan beberapa indvidu telah melakukan aktiviti seperti berkayak dan menaiki bot pedal.
Walaupun aktiviti-aktiviti tersebut bukanlah asing di taman-taman tasik di tempat lain, namun ia merupakan satu usaha dan inisiatif yang baik oleh pihak Majlis Bandaraya Seremban.
Di harapkan aktiviti-aktiviti air tersebut mampu menarik minat warga Seremban untuk datang dan mencubanya, tidak perlu lagi ke tempat lain.
Bagi penulis secara peribadi, potensi Taman Tasik Seremban ini cukup besar, beberapa perkara boleh dibangunkan serta aktiviti lain yang boleh disediakan untuk menarik lebih ramai pengunjung ke taman tasik ini.
Sebagai contoh, pihak berwajib boleh membina sebuah mercu tanda seperti arca atau menara jam sebagai lokasi untuk pengunjung bergambar dan merakam kenangan.
Ambil kesempatan di atas gaya masa kini terutamanya dalam kalangan orang muda yang gemar bergambar dan kemudian memuat naik di laman-laman sosial masing-masing.
Satu lagi, penulis juga teringin untuk melihat adanya pertunjukkan air pancut berwarna warni dengan iringan muzik mendamaikan pada waktu malam.
Aktiviti berkenaan pastinya akan menjadi sebutan dan sentiasa yang dinantikan. Warga Seremban pasti akan lebih bahagia jika ia boleh direalisasikan.- KLIQ NEWS.