Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mempersoalkan keputusan tentang keperluan memberikan kelonggaran kepada pelbagai sektor dalam masih tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa ke-4.
Menurutnya, kelonggaran yang bermula Isnin depan itu perlu dilaksanakan secara beransur-ansur serta sektor demi sektor.
Jelas Ahli Parlimen Pekan itu, jika kelonggaran diberi secara sekali gus, ia dibimbangi akan memberikan kesukaran untuk mengawalnya.
“Maka, kita bertanya, apa keperluan untuk beri kelonggaran begitu besar secara serentak bermula Isnin depan walaupun fasa ke-4 PKP ini hanya akan berakhir pada 12 Mei?
“Slow and steady. Sektor demi sektor. Secara beransur ansur. Tak perlu gelojoh sangat., Janganlah sekali gus. Nanti susah nak kawal,” katanya menerusi hantaran di akaun Facebook miliknya hari ini.
Tambah Najib, kebenaran secara sekali gus itu juga akan memberi risiko kepada khidmat kesihatan dan petugas-petugas kesihatan.
“Adakah mereka bersedia jika berlaku kluster baharu secara mendadak dan jumlah yang ramai? Kanada dan Jepun sudahpun berlaku apabila mereka longgarkan lockdown, kes jangkitan meningkat mendadak.
“Dan jikapun nak buka semula, beritahulah awal-awal supaya kita boleh membuat persediaan yang lebih teratur,” katanya lagi.
Beliau turut mencadangkan supaya minggu depan bermula 4 Mei hanya dikira sebagai tempoh persediaan untuk membuka sahaja.
Sebagai contoh, pengusaha restoran boleh aturkan meja, beli sanitizer, buat signboard peringatan SOP jarak diri, buat jadual kerja untuk pekerja. Sediakan kertas untuk catat nama pelanggan dan nombor telefon. Beli stok. Lukis garisan untuk tempat beratur.
“Selepas itu, 11 Mei baru restoran boleh dibuka untuk pelanggan duduk makan? Perlu dilakukan secara beransur-ansur dan bukan secara mendadak seperti ini,” tegasnya.
Najib dalam pada turut mengingatkan, berdasarkan rekod kes baharu positif COVID-19 hari ini, jelas menunjukkan jangkitan masih merebak dalam masyarakat tempatan.
Malah angka berkenaan meningkat sejak beberapa hari lalu.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi perutusan khasnya pagi tadi memaklumkan sektor ekonomi dibuka semula bermula 4 Mei 2020 secara berhati-hati dengan SOP kesihatan yang ketat selain sektor awam dan sosial.