Berita Am

Rumah bebas COVID-19 dijual serendah 1 euro di Itali

Umum mengetahui bahawa pandemik yang dicetuskan oleh coronavirus atau COVID-19 baru-baru ini meninggalkan impak yang sangat besar terhadap ekonomi, sosio-budaya dan peradaban manusia.

Kesannya dirasai oleh hampir keseluruhan penduduk dunia termasuk Itali iaitu antara negara Eropah yang paling teruk terjejas terutamanya ketika virus ini mula mengganas awal tahun ini.

Walaupun jumlah kes jangkitan COVID-19 di negara itu kini semakin terkawal dan mula berkurangan, namun, rata-rata penduduk di sana masih merasai kesan akibat pandemik tersebut yang secara tidak langsung telah mengubah kehidupan mereka secara total.

Justeru, tidak hairanlah sekiranya kerajaan atau pihak berkuasa tempatan di sana menghadapi kesukaran untuk membangunkan atau memulihkan semula semangat penduduknya yang kebanyakan masih dibayangi ketakutan akibat COVID-19 dalam masa yang singkat.

Antara langkah drastik yang cuba diambil untuk tujuan itu termasuk menjual pemilikan rumah di sebuah perkampungan di selatan wilayah Calabria dengan harga serendah 1 euro atau RM4.80 sebuah!

Peta kedudukan Cinquefrondi atau juga dikenali sebagai Zipper Town yang merupakan sebuah perkampungan terpencil.

Ya, itulah harga yang ditawarkan oleh Datuk Bandar Michele Conia terhadap rumah di perkampungan Cinquefrondi yang dilabelkan sebagai perkampungan ‘Bebas COVID’ dalam usaha untuk merancakkan kembali ekonomi di kawasan berkenaan.

Cinquefrondi atau juga dikenali sebagai Zipper Town sememangnya merupakan sebuah perkampungan yang agak terpencil dan terpinggir daripada pembangunan dengan hampir tiada kes COVID-19 dilaporkan di situ.

Menurut Conia, Cinquefrondi boleh dianggap sebagai perkampungan bersejarah kerana telah wujud sejak Tamadun Yunani atau ‘Ancient Greek’ namun masih dilengkapi dengan beberapa kemudahan awam.

Cinquefrondi boleh dianggap sebagai perkampungan bersejarah kerana telah wujud sejak Tamadun Yunani- Sumber gambar CNN

“Kami mengalu-alukan orang ramai untuk ke sini (bermustautin) dan pejabat saya juga sentiasa terbuka kepada sesiapa sahaja yang datang ke mari,” ujarnya.

Pun begitu, walaupun dijual dengan harga serendah 1 euro, pembeli sebenarnya tertakluk kepada beberapa syarat lain termasuk perlu membayar yuran polisi tahunan berjumlah 250 euro (RM1,199) sehingga proses ubahsuai rumah di kawasan itu selesai, lapor CNN.

Pada masa yang sama, pemilik rumah yang baharu itu akan dikenakan denda sehingga 22,470 euro (RM107,834) jika gagal menyelesaikan kerja-kerja ubah suai rumah tersebut dalam tempoh tiga tahun. Nah, ambik kau!

Kisah rumah yang dijual dengan harga terlalu murah di Itali ini sebenarnya bukanlah perkara baharu kerana sebelum ini situasi hampir sama dilaporkan berlaku di Taranto yang juga terletak di selatan Itali.

Seperti Cinquefrondi, harga tersebut diletakkan hanyalah bertujuan untuk memancing orang ramai khususnya generasi muda supaya kekal menetap di situ dalam usaha untuk meningkatkan populasi semasa.

Perkampungan Cinquefrondi dilabelkan sebagai perkampungan ‘Bebas COVID’- Sumber gambar CNN.

Bezanya, Cinquefrondi menggunakan perkataan ‘Bebas COVID’ iaitu perkataan yang pastinya menimbulkan kelegaan buat rakyat Itali dalam usaha untuk menarik perhatian bakal penghuni atau pemilik rumah baharu di kawasan itu.

Sumber UPI.com

Tak dapat dibayangkan pula bagaimana reaksi rakyat negara ini sekiranya diberikan tawaran harga rumah serendah itu ketika ini.

Yang pasti, murah atau mahal sesuatu itu pasti ada sebabnya yang tersendiri. – KLIQ NEWS.

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
%d bloggers like this: