Susu pisang buat akuan dilarang

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memandang serius penjualan dan pengiklanan produk “susu pisang” yang membuat akuan yang dilarang dan tular di media elektronik, media cetak, media sosial, risalah dan lain-lain.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, penyataan seperti membantu merendahkan tekanan darah tinggi, membantu membuang toksik dari badan, meningkatkan metabolisme, mengawalselia pengeluaran insulin dan pergerakan oksigen, mengurangkan obesiti dan sebagainya adalah dilarang pada label dan iklan produk makanan.

Sehubungan itu, katanya, KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualti Makanan telah mengambil tindakan ke atas pihak yang mengedar atau menjual produk makanan tersebut yang tidak mematuhi mana-mana perundangan berkaitan di bawah Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya.

“Seksyen 17, Akta Makanan 1983 menetapkan larangan ke atas sesuatu iklan makanan termasuklah perkara-perkara yang dilarang pada label dan pernyataan-pernyataan yang boleh memperdayakan pengguna.

“Manakala di bawah Peraturan 18(6), Peraturan-Peraturan Makanan 1985 menyatakan bahawa label makanan tidak boleh mengandungi akuan kesihatan seperti mencegah, mengurang, merawat dan menyembuhkan sesuatu penyakit,” katanya menerusi satu kenyataan.

Tambah Noor Hisham, kegagalan mematuhi mana-mana peruntukan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985 merupakan satu kesalahan dan jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua (2) tahun.

“KKM memberi amaran kepada semua penjual atau agen-agen produk makanan berkenaan untuk menghentikan pengiklanan yang tidak mematuhi Akta Makanan 1983 dan tidak menyebarkannya di media sosial.

“Pengguna juga dinasihatkan untuk tidak terpedaya dengan iklan-iklan yang sedemikian,” katanya.

  • Editor

    Related Posts

    Sejarah t-shirt polo

    Sebagai seorang lelaki anda

    Read more

    Thailand lebur impian Malaysia ke final Piala AFF

    Skuad bola sepak kebangsaan,

    Read more

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    %d bloggers like this: