Politik & Kerajaan

Subky meninggal dunia, Pas kehilangan tokoh veteran

Pengerusi As-Sabiqun, Subky Abdul Latif dilaporkan meninggal dunia pukul 11 pagi tadi.

Perkara tu disahkan oleh anak-anaknya menerusi akaun Facebook milik Allahyarham yang juga bekas wartawan kanan akhbar.

“Dukacita ingin dimaklumkan, ayahanda kami Subky Abdul Latif telah pun menghembuskan nafas terakhir.

“Segala salah dan silap mohon diampunkan. Doakan arwah ditempatkan bersama para nabi, sahabat dan orang-orang soleh. Amin,” kata mereka.

As-Sabiqun merupakan platform yang menghimpunkan ahli veteran bagi Pas.

Kenyataan bersama anak-anak Allahyarham berkenaan bapa mereka yang kembali ke Rahmatullah.

Allahyarham yang berusia 80 tahun dilahirkan di Setiawan, Perak turut aktif dalam dunia politik dan pernah menjadi Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat dari 1983 hingga 2005.

Beliau juga pernah menjawat jawatan Persuruhjaya Pas Wilayah Persekutuan pada 2007 selain pernah menjadi Naib Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat.

Allahyarham juga pernah menjadi calon Pas dalam pilihan raya bagi PArlimen Pelabuhan Kelang (1979); Parlimen Kemaman (1982); Parlimen Parit Buntar (1986); Parlimen Jerai (1990); Parlimen Parit (1995) dan Parlimen Kubang Pasu (1999) yang pada ketika itu menentang Perdana Menteri Malaysia keempat, Dr. Mahathir Mohamad.

Subky tewas dalam kesemua pilihan raya tersebut.

Dalam dunia penulisan dan kewartawanan, Subky pernah menjadi pemberita dan wartawan kanan di Utusan Melayu dan Warta Negara.

Allahyarham juga menjadi pengasas kepada beberapa buah akhbar seperti Suara Rakyat dan Suara Merdeka termasuk akhbar lidah rasmi Pas, Harakah.

Beliau juga pernah menjadi Setiausaha Akhbar kepada bekas Perdana Menteri Malaysia kedua, Tun Abdul Razak Hussein.

Subky ketika berlangsungnya Pilihan Raya Kecil DUN Semenyih awal tahun lalu pernah berkata, beliau sendiri tidak pernah menyangka kerjasama politik di antara Pas dan UMNO boleh berlaku.

Malah katanya, perubahan politik yang berlaku itu dianggapnya terhasil di atas kehendak Allah.

Subky (dua dari kanan) selepas mengadakan pertemuan dengan veteran UMNO di Semenyih, awal tahun lalu.

“Saya tidak fikir nak hadir perjumpaan dengan UMNO ini, kalau boleh tengok UMNO pun tak mahu tapi sekarang ini kalau UMNO tak hendak, saya hendak.

“Oleh kerana itu, kalau ada orang Melayu dan orang Islam tidak menyambut perkembangan yang ada ini, saya rasa ini akan merugikan orang Islam.

“Saya tak mahu bercakap tentang bersatunya UMNO dan Pas tetapi mahu bercakap tentang berdua, bahawa Pas dengan UMNO akan berdua sehingga sampai satu waktu kedua-dua parti ini buat satu keputusan,” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan veteran UMNO di Semenyih pada 18 Februari 2019.

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
%d bloggers like this: