SSPN catat peningkatan keuntungan pelaburan

Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) telah memperoleh keuntungan pelaburan terkumpul bagi tahun 2019 berjumlah RM151.50 juta setakat suku ketiga tahun ini.

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menerusi kenyataan media memberitahu, prestasi tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak 25.9% berbanding sebanyak RM120.33 juta bagi tempoh yang sama tahun 2018.

“Selaras dengan hasrat kerajaan untuk memastikan simpanan dalam SSPN sentiasa terjamin dan dilindungi, PTPTN mengamalkan kaedah pelaburan patuh syariah berjangka pendek dan panjang di pasaran wang tempatan yang
melindungi prinsipal, di samping memberikan pulangan atau keuntungan yang tinggi dan positif.

“Pemantapan strategi pelaburan dengan menumpukan kepada simpanan tetap jangka panjang berjaya mengurangkan tekanan daripada pasaran ekuiti yang tidak menentu di peringkat global,” kata kenyataan itu lagi.

Pada tahun 2018, PTPTN telah berjaya mengagihkan dividen SSPN pada kadar 4% kepada 3.52 juta akaun melibatkan peruntukan berjumlah RM118.61 juta.

Berdasarkan kepada prestasi tahun semasa, PTPTN menjangkakan dapat meningkatkan atau sekurang-kurangnya mengekalkan kadar pemberian dividen tersebut.

Untuk rekod pencapaian SSPN bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, jumlah deposit adalah sebanyak RM581.83 juta berbanding RM486.92 juta pada tempoh yang sama tahun 2018.

Angka ini menunjukkan peningkatan sebanyak RM94.91 juta atau 19.5%, sekali gus menjadikan deposit SSPN
terkumpul keseluruhan sehingga September 2019 berjumlah RM4.65 bilion.

PTPTN mengunjurkan jumlah deposit bagi tahun 2019 adalah sebanyak RM1.30 bilion berbanding RM1.13 bilion pada tahun 2018 iaitu peningkatan sebanyak 15%

Unjuran ini adalah berasaskan kepada pencapaian positif yang dipacu menerusi langkah berterusan promosi galakan penabungan yang dilaksanakan sepanjang tahun di seluruh negara seperti program Jelajah SSPN, Minggu
Menabung dan Gerak Gempur Skim Simpanan (2G2S).

Di samping itu, ia juga disumbangkan oleh kenaikan jumlah insentif pelepasan taksiran cukai dari RM6,000 kepada RM8,000 seperti yang diumumkan oleh Menteri Kewangan menerusi Bajet 2019.

SSPN merupakan instrumen simpanan yang dijamin sepenuhnya oleh kerajaan serta produk patuh syariah yang menggunakan konsep “Wakalah Bil Istithmar” di samping menawarkan pelbagai keistimewaan lain seperti geran
sepadan dan perlindungan takaful.

Dengan pelbagai keistimewaan dan insentif yang ditawarkan serta kesedaran masyarakat berkenaan penabungan bagi tujuan pendidikan, sehingga 30 September 2019 sebanyak 347,709 akaun baharu SSPN telah dibuka dan dijangka pembukaan akaun akan terus meningkat sehingga hujung tahun ini.

Secara keseluruhan, sehingga akhir suku ketiga 2019 sebanyak 4.26 juta akaun SSPN telah dibuka sejak dilancarkan pada tahun 2014.

  • Editor

    Related Posts

    Sejarah t-shirt polo

    Sebagai seorang lelaki anda

    Read more

    Berstatus pelarian tidak halang Ruksana kejar impian

    Ruksana Nur Mohammad, remaja

    Read more

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    %d bloggers like this: