Sesi persekolahan secara bersemuka akan bermula pada 1 Mac depan selepas ia ditangguhkan sebelum ini susulan peningkatan kes Covid-19
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, keputusan itu membabitkan murid prasekolah, tahun satu dan tahun dua manakala untuk tahun tiga hingga enam sesi akan bermula pada 8 Mac.
Bagi pelajar sekolah menengah pula di negeri Kumpulan A iaitu Kedah, Johor, Kelantan dan Terengganu mereka akan hadir ke sekolah pada 4 April.
Pelajar sekolah menengah di negeri Kumpulan B iaitu Perlis, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Sabah, Sarawak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya pula akan hadir pada 5 April, iaitu selepas tamat sesi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020.
Menurut Radzi ketika sidang akhbar hari ini, keputusan membenarkan pelajar sekolah rendah untuk mengikuti sesi persekolahan lebih awal adalah bagi memberi ruang kepada murid dan guru menyesuaikan diri dengan suasana norma baharu dan juga prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.