AntarabangsaKesihatan

Sembunyi di lapangan terbang kerana takut Covid-19

Ingatkah anda salah satu daripada filem lakonan Tom Hanks yang popular iaitu The Terminal?

Filem tersebut mengisahkan seorang pemuda, Viktor Navorski yang terkandas di sebuah lapangan terbang disebabkan negaranya mengalami peperangan dan terpaksa tinggal di situ untuk suatu tempoh yang agak lama sehingga keadaan kembali pulih.

Filem The Terminal lakonan Tom Hanks mengisahkan seorang pemuda yang terkandas di sebuah lapangan terbang disebabkan negaranya mengalami peperangan dan terpaksa tinggal di situ untuk suatu tempoh yang agak sehingga keadaan kembali pulih.

Difahamkan, The Terminal diinspirasikan daripada sebuah kisah benar tentang seorang pelarian Iran, Mehran Karimi Nasseri yang tiba di Lapangan Terbang Charles de Gaulle, Paris pada 1988 tanpa sebarang passport atau dokumen dan terkandas di lapangan terbang tersebut.

Sama seperti Navorski, Nasseri juga dikatakan pada mulanya ‘hilang punca’ selepas terkandas dan terpaksa meneruskan kehidupannya di situ untuk tempoh yang juga agak lama sehingga masalahnya diselesaikan oleh kerajaan Perancis yang terpaksa campur tangan dalam perkara tersebut pada ketika itu.

Namun, berlainan pula kisah yang menimpa Aditya Singh, 36, seorang lelaki dari California, Amerika Syarikat (AS) yang ‘terkandas’ di Lapangan Terbang Antarabangsa O’Hare, Illinois selama tiga bulan gara-gara bersembunyi daripada pandemik Covid-19.

Menurut portal Chicago Tribune, Aditya tidak mahu meneruskan perjalanannya dengan menaiki pesawat kerana bimbang dijangkiti pandemik tersebut selepas tiba dari Los Angeles pada 19 Oktober lalu.

Lapangan Terbang Antarabangsa O’Hare di Chicago, Illinois, Amerika Syarikat (AS). Gambar: wheelchairtravel.org

Dia bagaimanapun hanya dikesan dan ditangkap hujung minggu lepas sebelum didakwa di bawah dua pertuduhan iaitu menceroboh serta terlibat dengan kes kecurian kecil, kata kumpulan pendakwa raya.

Terdahulu, sebelum ditahan, Aditya dikatakan telah dirapati oleh dua orang pegawai dari United Airlines yang curiga dengan tingkah lakunya sebelum meminta pengenalan diri daripada lelaki itu.

Aditya Singh.-Gambar: Jabatan Polis Chicago

Bagaimanapun, Aditya menunjukkan dokumen pengenalan palsu sebagai seorang kakitangan lapangan terbang iaitu dokumen asal yang dipercayai milik seorang pengurus operasi yang dilaporkan hilang pada 26 Oktober lepas iaitu kira-kira seminggu selepas Aditya berada di lapangan terbang berkenaan.

Menurut hakim, Kathleen Hagerty, Aditya mendakwa terjumpa dokumen pengenalan tersebut sebelum mengambil dan menggunakannya untuk tujuan sendiri kerana terlalu takut untuk pulang disebabkan Covid-19.

Difahamkan juga, tujuan sebenar Aditya berada di Chicago masih belum dapat dipastikan dan buat masa ini, lelaki tersebut dibebaskan dengan ikat jamin bersyarat iaitu tidak dibenar menjejakkan kaki ke lapangan terbang itu lagi sehingga menunggu tarikh perbicaraan yang berikutnya.

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
%d bloggers like this: