AntarabangsaSukanTerkini

Seluruh negara raikan kejayaan Lee Zii Jia

Kejayaan pemain badminton perseorangan negara Lee Zii Jia menjuarai kejohanan Seluruh England semalam diraikan seluruh negara.

Kesemuanya mengucapkan tahniah dan berbangga dengan kejayaan Zii Jia, malah ramai yang sudah meletakkan harapan, anak kelahiran Alor Setar Kedah ini merupakan bintang baharu sukan badminton negara.

Ada juga kini beranggapan supaya Zii Jia boleh diletakkan harapan untuk mengenggam emas pertama Sukan Olimpik buat negara selepas Datuk Lee Chong Wei gagal melakukannya sebelum ini.

Kemenangan atlet berusia 23 tahun itu sememangnya sangat manis dan hadiah kepada rakyat negara ini yang kini dilanda dugaan Covid-19 yang belum berkesudahan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan Zii Jia kini wira kebanggan negara.

“Kepada Lee Zii Jia, jadikanlah kejayaan ini sebagai perangsang untuk bekerja lebih keras dan menjadi lebih cemerlang pada masa hadapan.

“Perjalanan karier anda masih jauh. Tahniah juga kepada BAM dan barisan kejurulatihan atas kejayaan ini,” kata Ahli Parlimen Pagoh itu lagi.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pula berkata, kejayaan Zii Jia itu telah membuktikan semangat slogan Malaysia Boleh.

“Semasa slogan Malaysia Boleh diperkenalkan, ia bertujuan menyerlahkan semangat juang di kalangan rakyat Malaysia. Tahniah Lee Zii Jia kerana sekali lagi membuktikan #MalaysiaBoleh,” katanya.

Bekas jaguh negara, Chong Wei juga tidak terkecuali mengucapkan tahniah kepada Zii Jia.

“Juara baharu All England, persembahan yang hebat, teruskan dengan rentak cemerlang,” katanya menerusi akaun Twitter.

Dalam perlawanan akhir semalam, Zii Jia menewaskan juara bertahan, Viktor Axelsen dari Denmark dengan keputusan 30-29, 20-22, 21-9.

Kejayaan itu pasti cukup manis untuk Zii Jia kerana dapat membalas dendam selepas dikecewakan Axelsen pada aksi separuh akhir di pentas sama tahun lalu.

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
%d bloggers like this: