EkonomiKesihatan

Pastikan ada makanan untuk keluarga

Tan Sri Muhyiddin Yassin menasihatkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menggunakan wang hasil pengeluaran wang simpanan dalam Akaun 2 dengan sebaik mungkin.

Apa yang lebih penting, jelas Perdana Menteri, mereka perlu memastikan setiap hari ada makanan tersedia di atas meja untuk seisi keluarga ketika negara menghadapi krisis penularan COVID-19 dan penurunan mendadak harga minyak mentah dunia.

“Beli barang-barang yang perlu sahaja dalam waktu yang agak sukar ini. Yang penting, pastikan setiap hari ada makanan di atas meja untuk seisi keluarga.

“Mungkin juga wang ini, sebahagiannya boleh digunakan untuk menampung bayaran bil air atau bil elektrik atau sewa rumah mengikut keperluan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat kedua Majlis Tindakan Ekonomi hari ini.

Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi pada hari ini telah memutuskan beberapa inisiatif utama yang diharapkan dapat membantu meringankan sedikit beban yang ditanggung rakyat ketika melalui waktu yang sukar ketika ini.

Antara inisiatif tersebut ialah kemudahan pengeluaran i-Lestari bagi pencarum KWSPberjumlah RM40 billion.

Menerusi kemudahan ini, semua ahli KWSP yang berumur bawah 55 tahun boleh membuat pengeluaran wang simpanan dalam Akaun 2 masing-masing tertakluk kepada kadar maksimum RM500 sebulan untuk tempoh selama 12 bulan.

Sumber grafik: RTM

Dalam pada itu, Muhyiddin menambah, walaupun jumlah pengeluaran yang dibenarkan itu tidak seberapa namun bagi sesetangah pihak, ia amat diperlukan.

“Walaupun jumlahnya mungkin tak seberapa, tetapi inilah wang hasil titik peluh anda sendiri yang sepatutnya digunakan untuk hari tua, tetapi kerajaan benarkan wang ini digunakan pada masa ini memandangkan ada dalam kalangan saudara-saudari yang memerlukan.

“Insya-Allah, jika wang ini digunakan secara berhemah akan ada keberkatannya untuk saudara dan saudari seisi keluarga,” katanya.

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
%d bloggers like this: