
Pembayaran saguhati daripada kerajaan Malaysia kepada jemaah umrah yang terpaksa membatalkan pemergiaan ke Tanah Suci akibat penularan jangkitan virus Omicron bermula 8 Januari lalu akan disalurkan pada 18 Februari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Idris Ahmad berkata, pembayaran saguhati tersebut bagaimanapun hanya dikreditkan menggunakan akaun simpanan Tabung Haji para jemaah umrah bagi memudahkan urusan.
Jelas beliau, keputusan tersebut berdasarkan mesyuarat terkini yang telah diadakan di antara Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Kementerian Kewangan dan TH.
Jelas beliau, sehubungan itu, pihak MOTAC juga telah menyerahkan senarai nama sebanyak 8,027 jemaah umrah yang terkesan dan layak menerima saguhati kepada TH.
“Daripada jumlah tersebut, pihak TH mendapati seramai hampir 1,000 jemaah umrah masih belum mempunyai akaun simpanan TH. Pengkreditan terus saguhati sebanyak RM1,671 seorang ke dalam akaun simpanan TH akan dibuat pada hari Jumaat, 18 Februari 2022.
“Oleh kerana kaedah bayaran adalah melalui akaun simpanan TH maka saya menyeru semua jemaah umrah yang masih belum mempunyai akaun simpanan TH diminta untuk membuka akaun TH sebelum 18 Februari 2022,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Menurut Idris, para jemaah umrah tersebut boleh melayari www.thijari.com.my untuk membuka akaun simpanan TH secara dalam talian dan hadir ke kaunter TH yang terdekat bagi proses pengaktifan akaun secara biometrik.
“Bagi mereka yang mempunyai kesukaran untuk mendaftar secara atas talian, boleh terus ke cawangan TH terdekat untuk tujuan pendaftaran dan akan dibantu sebaiknya oleh semua kakitangan di cawangan-cawangan TH. Para jemaah yang terkesan akan dilayan dengan serta merta tanpa perlu beratur dan menunggu lama.
“Saya juga telah memaklumkan kepada pihak TH supaya segala tuntutan pembayaran ini akan dipermudahkan semaksimumnya supaya tidak berlaku kesulitan yang besar terhadap tuntutan ini,” kata beliau lagi.
Oleh kerana kaedah bayaran adalah melalui akaun simpanan TH maka saya menyeru semua jemaah umrah yang masih belum mempunyai akaun simpanan TH diminta untuk membuka akaun TH sebelum 18 Februari 2022
Datuk Idris Ahmad
Sebelum ini kerajaan membuat keputusan menangguhkan ibadah umrah buat sementara waktu berkuat kuasa 8 Januari lalu berikutan penularan jangkitan Omicron namun Kabinet kemudian membuat keputusan umat Islam di negara ini boleh kembali mengerjakan ibadah umrah mulai 8 Februari lalu.
Idris kemudian memaklumkan, kerajaan akan membayar pampasan kepada jemaah umrah yang terpaksa menangguhkan ibadat itu sepanjang penutupan sementara selama sebulan bermula 8 Januari lalu.