Kesempitan hidup lebih 21,000 orang fakir miskin, warga emas, orang kurang upaya (OKU), anak yatim serta golongan B40 semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedikit diringankan menerusi penyerahan bantuan wang zakat Tenaga Nasional Berhad (TNB) oleh warga kerjanya.
Menurut Ketua Pegawai Korporat TNB, Datuk Wira Roslan Ab Rahman, bantuan berkenaan diagihkan terus oleh warga kerja TNB secara berperingkat sejak awal Ramadan.
Jelasnya, sasaran penerima sumbangan ditumpukan kepada mereka yang tinggal di kawasan berhampiran lokasi operasi TNB di seluruh Semenanjung Malaysia serta Sabah.
“Inisiatif ini melibatkan warga kerja kami turun padang ke segenap pelusuk negeri, menziarahi dan menyantuni golongan yang kurang bernasib baik.
“Menerusi penglibatan warga kerja TNB ini, wang zakat berjumlah RM4.325 juta telah diagihkan sejak awal Ramadan lalu. Pendekatan ini, insya-Allah dapat mengukuhkan amalan sentiasa bersyukur, prihatin dan berkongsi rezeki bersama masyarakat.” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Menurut Roslan, bantuan zakat yang diagihkan adalah dalam bentuk wang saku dan barangan keperluan harian yang tentunya amat diperlukan kerana kebanyakan penerima hilang punca pendapatan apabila terpaksa berkurung bagi mengelakkan penularan wabak COVID-19.
“Semoga usaha murni kami memperoleh keberkatan di bulan Ramadan yang mulia ini. Kami juga berharap, sedikit sebanyak ia dapat memberi kegembiraan kepada mereka yang dihimpit kesukaran, lebih-lebih lagi menjelang Aidilfitri nanti,” tambah Roslan.
Katanya lagi, selain menyantuni golongan yang terjejas beragama Islam, sebahagian penerima manfaat wakalah turut melibatkan masyarakat bukan Islam yang layak.-KLIQ NEWS