Sejauh mana sehelai jersi mampu menggalas identiti, aspirasi dan semangat pasukannya? Lebih penting, berapa jauh sesebuah jenama itu berani pergi dalam usaha menerapkan falsafah pasukan pada sehelai jersi?
Pada kaca mata seorang peminat tegar, sehelai jersi bukan semata-mata sehelai jersi, tetapi lebih daripada itu. Sehelai jersi melambangkan maruah, kebanggaan serta nilai sejarah sesebuah pasukan. Bagi sesetengah, ia umpama ‘kulit kedua’ mereka.
Sebab itu penting bagi jersi sesebuah pasukan untuk diterapkan dengan pelbagai elemen yang dekat dengan pasukan itu sendiri. Daripada lencana pasukan yang ditampal di dada hingga ke reka bentuk jersi, ia sebaik-baiknya wajar mencerminkan falsafah keseluruhan pasukan tersebut.
Falsafah itu juga perlu disulami dengan keunikan. Setiap musim baharu, para peminat pastinya mengharapkan reka bentuk yang di luar kotak. Dengan kepesatan teknologi pembuatan jersi ketika ini, pelbagai penambahbaikan boleh dilakukan pada reka bentuk jersi.
Bercakap tentang unik dan di luar kotak, jersi yang terdetik di fikiran penulis adalah jersi home Naga Emas Asri (NEA) untuk Liga 3 Indonesia pada tahun 2021.
Apa yang menarik perhatian adalah ia menggunakan motif reka bentuk ‘sweater‘ tenunan yang sangat unik. Setakat pengetahuan penulis, tiada pasukan pernah menyarung jersi seumpama itu.
Di bahagian dalam kolar pula terdapat grafik dengan tulisan ‘Matur Suwun Nakes‘ yang bermaksud Terima Kasih Nakes sebagai penghargaan kepada petugas-petugas kesihatan yang menjadi barisan hadapan ketika pandemik melanda.
Meskipun penulis tidak berpeluang memilikinya kerana stok sudah lama habis, tetapi penulis tetap gembira kerana mengetahui kewujudannya. Penulis amat senang melihat adanya pasukan negara jiran yang menyarung jersi seunik dan luar kotak sebegitu.
Jersi tersebut dikeluarkan oleh jenama Reds, yang berpengkalan di Yogyakarta, Indonesia. Selain jersi NEA, jersi away Persikup Kulon Progo 2021 yang dikeluarkan Reds juga tidak kurang uniknya.
Pada 2017, Reds! juga mengeluarkan jersi away Persiba Bantul sempena menyambut ulang tahun ke-50. Uniknya, jersi itu membawa tema denim yang dipadukan dengan kombinasi emas putih sekali gus memberi hasil minimalis dan elegan.
Khabar Jersi berpeluang bercakap dengan Rio, wakil tim media sosial Reds! bagi mengetahui lebih lanjut tentang jenama yang ditubuhkan pada 2011 ini.
Bercakap dengan Rio, dia menceritakan bahawa pada awalnya, Reds! menaja ‘merchandise’ Tim Persiba Bantul dari Liga 1 Indonesia. Hari ini, Reds! telah menaja banyak pasukan, majoritinya daripada pasukan Liga 3 Indonesia.
Penulis juga bertanya kepada Rio tentang perancangan masa depan jenama Reds! dan ini jawapan Rio:
“Rencana jangka panjang… yang penting eksis (wujud) aja, nggak muluk-muluk (bukan bermegahan).”
Reds! juga sinonim dengan tanda pagar #trustdisional. Jika dilihat tanda pagar itu, kita boleh lihat betapa bangganya anak-anak tempatan memperagakan jersi unik pasukan-pasukan tajaan Reds!,.
Masing-masing berkongsikan gambar-gambar mereka di Internet sekali gus dilihat seolah-olah satu gerakan atau trend yang sihat dalam kalangan peminat sukan bola sepak.
Rio memberitahu, #trustdisional adalah kata hasil cantuman trust atau kepercayaan dengan tradisional yang mencerminkan semangat percaya pada tradisi.
Ditanya tentang persekitaran jenama-jenama lokal di Indonesia, Khabar Jersi diberitahu bahawa terdapat banyak jenama lokal yang bagus-bagus di republik tersebut. Jenama-jenama itu digunakan pasukan-pasukan liga di Indonesia, tambah Rio.
*Artikel asal; https://khabarjersicom.wordpress.com/2022/02/02/reds-trustdisional-dari-indonesia/
Jom support web KhabarJersi yang membawa artikel-artikel berkait dengan jersi bola sepak tempatan, serantau dan antarabangsa.