Sukan

“Seorang pergi, empat yang datang tau”

Pasukan Negeri Sembilan FC sambar empat penjaga gol baharu

Selepas kehilangan penjaga gol utamanya musim lalu iaitu Ahmad Syihan Hazmi yang berhijrah ke pasukan lain, Negeri Sembilan FC (NSFC) tidak menunggu lama untuk mencari pengganti.

NSFC menerusi akaun media sosialnya sejak seminggu lalu rancak memperkenalkan barisan pemain baharu bagi membawa cabaran pasukan itu dalam saingan Liga Malaysia musim ini.

Semua pemain baharu itu termasuklah di posisi penjaga gol bagaimanapun apa tidak disangka, bukan hanya seorang berjaya dibawa masuk oleh NSFC, sebaliknya seramai empat orang!

Penjaga gawang pertama yang diikat oleh NSFC ialah Tauffiq Ar Rasyid. Berusia 27 tahun, dia merupakan bekas pemain Sarawak United dan mempunyai ketinggian 1.85 meter.

Seterusnya ialah Muhammad Firdaus Irman Mohd Fadhil yang berusia 21 tahun. Mempunyai ketinggian 1.85 meter, dia merupakan pemain bawah 23 tahun kebangsaan dan beraksi dengan pasukan PDRM FC pada musim lalu.

NSFC turut berjaya membawa masuk T. Shaheeswaran, 24, dari pasukan Johor Darul Ta’zim II. Berketinggian 1.81 meter, Shaheeswaran juga pernah dipanggil menyertai latihan pusat skuad bawah 23 tahun kebangsaan.

Kejutan seterusnya adalah apabila seorang lagi penjaga gol muda iaitu Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman, 20, juga akan bersama skuad Jang.

Turut beraksi bersama skuad 23 tahun negara, Sikh Izhan Nazrel difahamkan dilepaskan pasukan asalnya iaitu Selangor FC secara pinjaman bagi bersama NSFC musim ini.

Mohamad Kaharuddin terus setia beraksi dengan NSFC pada musim ini.-Facebook/NSFC

Selain empat penjaga gol itu, NSFC difahamkan masih mengekalkan dua orang penjaga gawang musim lalu iaitu, Mohamad Muhaimin Mohamad, 31, dan Mohamad Kaharuddin Abdul Rahman, 31.

Kedua-duanya beraksi dalam perlawanan persahabatan dengan TRW Kelantan FC baru-baru ini.

Nampaknya, saingan begitu sengit bagi merebut posisi nombor satu dalam pasukan NSFC. Masih belum dapat dipastikan apakah dalam perancangan ketua jurulatih K. Devan kali ini.

Memandangkan musim ini akan diperkenalkan Liga Simpanan sebagai liga kedua bolasepak kebangsaan, sudah tentu dalam kalangan enam penjaga gol ini, ada daripada mereka yang akan turut membarisi skuad Liga Simpanan NSFC.

Walaupun masih belum teruji, NSFC dilihat bakal memiliki penjaga gol setanding dengan Ahmad Syihan.

Jika ada rezeki dan prestasi yang ditampil memberangsangkan, mana tahu penjaga gol NSFC bakal sekali lagi menambat hati ‘kepimpinan’ Kim Pan-gon sekali gus membuat kejutan menembusi senarai pemain skuad kebangsaan. Insya-Allah.

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
%d bloggers like this: