Oleh ISWAN SHAFIQ ISA
Sebuah syarikat yang menghasilkan barangan kemas untuk tujuan perubatan di Kostroma, Rusia menarik perhatian ramai apabila berjaya menjual rantai berbentuk ‘coronavirus’ sejak pandemik Covid-19 itu diisytiharkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) baru-baru ini.
Syarikat yang dikenali sebagai Dr. Vorobev itu dikatakan menjual rantai tersebut pada harga sekitar 1,000 rubles (RM57) seutas.
Bagaimanapun, penjualan terbabit didakwa mengundang kontroversi dalam rangkaian media sosial di negara itu.
Ia apabila orang ramai yang membelinya memuat naik gambar bersama barang kemas berkenaan ke dalam Instagram dan VK (laman sosial Rusia, VKontakte) seperti berbangga.
Sebahagian pihak lain pula mendakwa tindakan Dr. Vorobev tidak lebih daripada untuk mengaut keuntungan berganda di sebalik krisis kesihatan global ini.
Menyedari pandangan serong yang dilemparkan terhadap syarikat itu, pengasasnya, Pavel Vorobev tampil mempertahankan rekaan Dr. Vorobev yang disifatkannya mampu membantu meningkatkan tahap kesihatan secara lebih profesional.
“Misi dan objektif projek (rantai coronavirus) kami ini tidak lain daripada untuk membantu para doktor ketika bekerja. Ia (rantai tersebut) boleh menjadi tangkal atau azimat selain simbol kejayaan mereka (doktor) dalam memerangi virus berkenaan.
“Tambahan pula, pengikut media sosial kami juga dalam kalangan mereka yang dihormati seperti doktor dan pengamal perubatan,” katanya kepada Govorit Moskva seperti yang dilaporkan oleh Oddity Central.
Beliau berkata, selaku jenama barangan kemas yang dihasilkan untuk tujuan perubatan, adalah perkara biasa sekiranya rantai tersebut direka menyerupai coronavirus.
“Tidak kira seburuk manapun ia (maklum balas yang diterima), rantai itu telah menjadi ‘trend’ di sini (Rusia),” ujarnya yang turut mendakwa bahawa sehingga kini, lebih 1,000 utas rantai tersebut telah berjaya dijual di seluruh dunia. -KLIQNEWS