Berita AmPolitik & KerajaanTerkini

PRU-15: Tun Mahathir akan pertahan Langkawi

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengesahkan akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang.

“Di Langkawi calonnya adalah Dr. Mahathir Mohamad, tetapi bukan sebagai calon bakal Perdana Menteri, calon wakil rakyat sahaja. Kita tidak tentukan siapa yang akan jadi Perdana Menteri.

“Kerana, calon untuk Perdana Menteri itu relevan kalau kita menang sahaja, kalau kalah tidak relevan,” katanya.

Dr. Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) berkata demikian pada sidang akhbar di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya hari ini.

Sementara itu, beliau yang juga Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA) memaklumkan, gabungan GTA itu masih belum diluluskan pendaftarannya walaupun Parlimen telah dibubarkan semalam.

Sehubungan itu, Dr. Mahathir memberitahu, pada PRU-15 akan datang, gabungan itu tidak dapat bertanding dengan nama GTA seperti yang dihasratkan sebelum ini.

“Walaupun diluluskan dalam masa terdekat, kami masih tidak boleh bertanding sebagai GTA. Sebab itu kami telah buat keputusan hari ini iaitu kami akan bertanding dengan nama, simbol dan bendera Pejuang.

“Tetapi Pejuang menggantikan GTA, semua yang bersetuju dengan GTA akan bertanding dengan nama Pejuang melainkan di Kelantan. Kerana sebab-sebab tertentu, GTA tidak akan bertanding di situ sebaliknya parti Putra akan bertanding di Kelantan.

“Putra antara parti yang membuat keputusan untuk bertanding sendiri di Kelantan sahaja, tetapi di negeri lain, walaupun ada calon datang dari Putra, mereka akan bertanding dengan nama Pejuang, iaitu di Terengganu dan Perak,” katanya.

Dr. Mahathir menjelaskan, walaupun akan menggunakan nama Pejuang, tidak bermakna semua calon akan datang dari parti berkenaan.

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
%d bloggers like this: