
Tiba-tiba sahaja Pokok Lidah Jin atau dalam bahasa Inggerisnya, Snake Plant ini menjadi popular.
Pokok yang juga dipanggil sebagai pokok lidah mak mentua ini sedang dicari ramai terutama oleh mereka yang gemar menghias rumah dan melakukan dekorasi dalaman.
Kenapa ia dicari? ini kerana terdapat laporan yang mengatakan pihak Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Amerika Syarikat (NASA) telah mencadangkan supaya pokok ini dijadikan sebagai tanaman indoor iaitu di dalam rumah dan bangunan.
Ini kerana keupayaannya menyerap pencemaran yang sangat tinggi berbanding tumbuhan lain.

Di sebabkan ia semakin popular walaupun sebelum ini ia hanya dipandang sepi di tepi laman rumah, mari kita ketahui sedikit sebanyak info berkaitan tumbuhan ini.
Nama saintifiknya ialah Sanseviera, sejenis tanaman tropika yang berasal dari Afrika, Madagascar dan Selatan Asia.
Hasil kajian termasuk yang dilakukan oleh NASA, secara konsisten menunjukkan pokok lidah jin ini mampu membuang toksin seperti formaldehid, xilena, toluena, dan nitrogen oksida.
Kajian oleh NASA itu bertujuan untuk menentukan cara membersihkan udara di stesen angkasa dan telah mengesyorkan sekurang-kurangnya 15 hingga 18 tanaman.
Tumbuhan ini mengubah banyak karbon dioksida menjadi oksigen pada waktu malam sekali gus menjadikan ia ideal untuk diletakkan di bilik tidur.
Sesuai diletakkan di ruang mencuci pakaian atau bilik mandi kerana mampu menyerap gas bertoksik yang terhasil daripada produk pencuci, tisu tandas dan barangan penjagaan diri.
Mempunyai aroma seperti bunga lavender, dapat menghilangkan bau kurang menyenangkan di rumah terutama tandas dan dapur.
Pokok ini juga boleh menyerap radiasi yang terhasil daripada penggunaan barangan elektronik seperti komputer dan televisyen.
Membantu melawan alergi dan Sick Building Syndrome (SBS). Snake Plant ini menyerap toksin dan membebaskan oksigen, ia melepaskan kelembapan di udara dan mengurangkan alergen di udara.

Oleh itu, individu yang mengalami alahan semestinya mencari tumbuh-tumbuhan seperti ini kerana ia adalah cara semula jadi dan murah untuk kekal sihat.
SBS pula adalah berkaitan dengan kualiti udara yang tidak sihat di dalam bangunan dan mereka yang terlibat akan mengalami simptom seperti kerengsaan di telinga, hidung, tekak, batuk, gatal, pening dan loya serta kurang tumpuan dan keletihan malah boleh membawa kepada sesak dada dan sakit otot.
Simptom tersebut akan berhenti selepas individu terlibat meninggalkan bangunan.
Mengikut feng shui yang dipercayai oleh masyarakat Cina, Snake Plant dapat membawa tenaga yang sangat berguna ketika diperlukan di kawasan tertentu di rumah atau pejabat.
Ini kerana tumbuhan ini dianggap mempunyai tenaga pelindung yang kuat.
Kedudukan terbaik untuk meletakkan pokok ini di pejabat atau rumah anda adalah di sudut tenggara, selatan, dan timur.
Orang Cina biasa menanam tanaman ini di rumah mereka, sebagai tanaman rumah yang berharga.
Menurut kepercayaan mereka, Lapan Dewa menganugerahkan lapan kebajikan mereka sebagai hadiah, kepada semua orang yang memiliki tanaman ini.
Lapan kebajikan tersebut adalah kesejahteraan, keindahan, umur yang panjang, kecerdasan, kesihatan, seni, kekuatan dan puisi.
Mereka meletakkan tanaman ini dekat dengan pintu masuk di rumah dengan tujuan memungkinkan lapan kebajikan itu masuk.

Sukar dihapuskan dan paling mudah dijaga. Penjagaan pokok lidah jin sangat mudah, ia boleh dibiarkan selama berminggu-minggu namun daunnya akan tetap lebat dan kelihatan segar.
Tanaman ini adalah daripada jenis sukulen, jadi ia menyimpan air di dalam dedaunnya.
Kesemua berikut merupakan antara maklumat mengenai pokok lidah jin ini.
Pokok ini memang sedang digilai ramai, dikhabarkan banyak nursery bunga yang sudah mula kehabisan stok pokok ini.
Oleh itu, jika di rumah anda banyak pokok ini, jaga baik-baik, dikhuatiri bangun pagi, pokok lesap dengan pasu-pasu juga. – KLIQ NEWS.