Peruntukan Penyelenggaraan Perumahan perlu ditambah

Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan ( REACH ) mencadangkan peruntukan sebanyak RM125 juta menerusi Belanjawan 2022 untuk Program Penyelenggaraan Perumahan dan Tabung Penyelenggaraan Perumahan Malaysia dapat ditambah.

Ketua Penyelarasnya, Datuk Iskandar A Samad berkata, jumlah yang diperuntukan tersebut tentunya akan memberi nafas lega baut mereka yang tinggal di pembangunan berstrata terutama di pembangunan kos rendah.

Bagaimanapun katanya, jumlah tersebut adalah tidak mencukupi kerana kebanyakan pembangunan berstrata terutamanya pembangunan kos rendah menghadapi masalah untuk dibaik pulih atau ditambah baik kerana ia melibatkan kos yang tinggi.

“Di dalam keadaan ekonomi sekarang, penduduk tidak akan mampu menanggung kos yang tinggi tersebut dan bantuan dari kerajaan amat diperlukan.

“Sebagai contoh, untuk tahun 2017 kerajaan negeri Selangor di bawah program Smartlife telah membelanjakan sebanyak RM29.3 juta untuk membaik pulih dan mengganti lif di 59 blok pangsapuri kos rendah yang melibatkan 118 buah lif.

“Kos ini hanya untuk sebahagian sahaja pembangunan di Selangor. Ia tidak melibatkan keseluruhan pembangunan di negeri tersebut. Kos untuk membaik pulih, modenisasi atau menggantikan lif adalah di antara RM100,000 hingga RM500,000 bagi setiap blok,” katanya dalam kenyataan hari ini.

ISKANDAR A SAMAD

Jelas Iskandar, terdapat juga kerja-kerja lain yang memerlukan perhatian seperti membaik pulih atau mengganti bumbung, mengganti tangki air atau memasang sistem pendawaian elektrik baharu yang boleh melibatkan ratusan ribu ringgit bagi setiap blok pangsapuri.

“Contohnya kerja-kerja menukar bumbung termasuk kerangka boleh menelan belanja sehingga RM500,000 bagi setiap blok. Kerja-kerja seperti itu perlu disegerakan kerana ia boleh mengancam nyawa penduduk.

“Selain dari itu, kerja-kerja mempertingkatkan keceriaan seperti mengecat semula juga penting untuk penduduk. Projek-projek mempertingkatkan keselamatan seperti pemasangan CCTV atau pagar juga diperlukan.

“Penyediaan kemudahan komuniti dengan memanfaatkan ruang-ruang terbiar bagi kegunaan penduduk boleh meningkatkan kualiti hidup penduduk, ” tambah beliau lagi.

Tambahnya, di Selangor sahaja terdapat lebih 700 skim pembangunan berstrata lebih daripada lima-tingkat dan lebih 1,000 skim pembangunan berstrata lima-tingkat.

“Sekiranya 10 peratus daripadanya memerlukan bantuan kerajaan maka peruntukan RM125 juta ini tidak akan mencukupi. Sudah tentu peruntukan ini tidak dapat menampung keperluan pembangunan berstrata di seluruh negara.

“Oleh yang demikian, peruntukan RM125 juta ini perlu ditambah. Kami berpandangan program membaik pulih dan penyelenggaraan ini perlu menyeluruh. Adalah tidak adil jika terdapat pembangunan yang diberi perhatian tetapi terdapat pula yang ketinggalan,” katanya lagi.

Riduan Kamarul

Related Posts

Sejarah t-shirt polo

Sebagai seorang lelaki anda

Read more

Perak FC kembali bersama Hadi Fayyadh dan jersi pink

Pink atau merah jambu

Read more

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: