Berita Am

Peranan Lim Kok Wing dihargai Mandela

Tiada musuh yang kekal dan tiada kawan yang setia dalam politik. Itulah ungkapan yang sering didendang oleh mereka yang bergelumang dalam dunia politik di seluruh dunia.

Sama ada kekal atau setia dalam politik itu sebenarnya banyak ditafsirkan berpaksi kepada kunci utama iaitu ‘kuasa’.

Ramai berhujah bahawa sebilangan besar orang politik berjuang untuk mendapatkan kuasa dan kedudukan.

Hanya segelintir yang benar-benar bersusah payah menitiskan peluh serta keringat atas nama sebuah perjuangan ikhlas.

Tanpa nilai persahabatan, politik akan diekspresikan dengan penuh sentimen. Bagi pemimpin akademik terkemuka yang juga pengasas Universiti Limkokwing, Tan Sri Prof. Dr. Lim Kok Wing berkata, beliau percaya persahabatan yang baik dan ikhlas adalah kunci untuk mencapai kejayaan.

Tan Sri Prof. Dr. Lim Kok Wing

Lim Kok Wing yang berkongsi pengalamannya berkata, nilai atas dasar kepercayaan dan persahabatan itu yang akhirnya membawa beliau memainkan peranan penting dalam menamatkan dasar apartheid apabila bekerjasama dengan bekas Presiden Afrika Selatan, Nelson Mandela bagi membebaskan rakyat negara itu daripada penjajahan Inggeris.

Semuanya bermula apabila Kok Wing diarahkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk membantu Mandela dan partinya, Kongres Kebangsaan Afrika (ANC) berkempen pada pilihan raya demokratik negara itu yang pertama dari penghujung 1993 sehingga awal 1994.

Pengalaman pasukan Malaysia yang diketuai Kok Wing berkempen di segenap ceruk negara itu selama enam bulan sehingga ANC menang dengan majoriti 62 peratus undi, sekali gus Mandela dipilih sebagai Presiden kulit hitam pertama di Afrika Selatan.

“Sudah tiba masanya rakyat mengetahui perkara sebenar mengenai apa yang berlaku 25 tahun lalu apabila Malaysia bersungguh-sungguh membantu Mandela atas semangat setiakawan dan anti-aparteid yang cukup hebat,” kata Kok Wing.

Antara poster-poster yang diilhamkan Lim Kok Wing ketika Pilihan Raya Afrika Selatan pada 1994.

Jelas Kok Wing, hubungan persahabatan ini telah terjalin sekian lama malah sejak zaman Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Namun hubungannya tidak baik kerana wujud dasar aparteid di Afrika Selatan.

Malaysia antara negara yang menentang kuat dasar aparteid. Tunku Abdul Rahman ialah pemimpin pertama yang mencadangkan supaya Afrika Selatan disingkirkan daripada pertubuhan negara-negara Komanwel kerana negara itu mengamalkan dasar aparteid, ketika berlangsungnya persidangan Perdana Menteri negara-negara Komanwel pada 1960.

Akhirnya pada 1961, Afrika Selatan tidak lagi menjadi anggota Komanwel dan sejak itu Malaysia telah memainkan peranan sebagai antara negara pendesak. Malaysia mahu pihak antarabangsa memberikan tekanan kepada Afrika Selatan bagi menamatkan segera dasar aparteid.

Bagaimanapun, segala-galanya berubah apabila Mandela dibebaskan dan berlaku ketika zaman Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Jelas Kok Wing, Mandela kemudiannya datang ke negara ini untuk bertemu dengan Dr. Mahathir. Ketika berkunjung ke Malaysia, beliau (Kok Wing) telah diperkenalkan oleh Dr. Mahathir kepada Mandela dan diminta menggalas satu tugas besar iaitu membantu Mandela dan partinya ANC berkempen pada pilihan raya demokratik pertama negara berkenaan.

Lim Kok Wing (kanan) berjabat tangan bersama bekas Presiden Afrika Selatan, Nelson Mandela selepas ANC memenangi Pilihan Raya Afrika Selatan pada 1994.

“Untuk makluman semua, Mandela ialah rakan karib kepada Dr. Mahathir. Selama ini saya bekerja rapat dengan Dr. Mahathir dan apabila beliau meminta saya membantu Mandela dan ANC, saya terus setuju. Saya berpendapat pada masa itu kita perlu membantu Afrika Selatan bagi membolehkan mereka mengecapi kebebasan selain membuktikan dasar aparteid itu adalah salah. Sebenarnya, Mandela amat mengharapkan bantuan daripada Malaysia. Beliau lebih percayakan negara ini dan tahu kita akan memberi sokongan sepenuhnya.

“Saya berada di Afrika Selatan selama enam bulan dan dalam tempoh itu pelbagai cadangan telah diberikan untuk tujuan kempen. Oleh kerana ANC dipimpin bekas pejuang pembebasan yang tidak berpengalaman langsung berkempen ketika pilihan raya, mereka bergantung sepenuhnya kepada pasukan dari Malaysia untuk mengurus dan menjalankan kempen. Kita telah mencipta satu slogan khas untuk ANC bagi menarik sokongan rakyat kepada mereka. Sebagai seorang yang telah lama terlibat dengan bidang pengiklanan.

“Saya tahu bukan mudah untuk kita memperkenalkan satu slogan yang mampu menarik minat orang ramai. Pada awalnya saya cadangkan slogan A better future for all tetapi pihak ANC mahu ia diubah kepada A better life for all. Saya mencadangkan perkataan future (masa depan) kerana ia merujuk kepada satu tempoh yang panjang, manakala life merujuk pada kehidupan baik pada waktu sekarang sahaja.

“Namun, akhirnya kami akur untuk menggunakan slogan A better life for all dengan merujuk kehidupan yang baik untuk semua orang secara bersama-sama. Slogan ini masih digunakan sehingga sekarang meskipun selepas 25 tahun dicipta. Untuk menjadikan slogan ini signifikan, kita telah memasukkan kanak-kanak pelbagai warna kulit dan keturunan bersama-sama dengan Mandela dan kemudian telah membentuk satu poster kempen yang amat menarik. Mesejnya cukup jelas iaitu untuk perdamaian, kesatuan dan perpaduan,”katanya.

Kok Wing menjelaskan, beliau masih ingat kata-kata Mandela ketika itu iaitu lelaki ini (Kok Wing) datang dari negara yang mempunyai penduduk berbilang kaum, jadi dia tahu bagaimana untuk membawa rakyat hidup bersama-sama.

“Kita mesti membawa semua rakyat kita hidup bersama-sama. Saya mengemukakan idea ini kerana merasakan salah satu tugas penting yang perlu saya laksanakan adalah memastikan semua rakyat Afrika Selatan dapat hidup bersama-sama. Orang berkulit putih menguasai 80 peratus kekayaan negara berkenaan, sekiranya kita tidak membawa semua supaya bersatu, apa akan terjadi jika orang kulit putih berhijrah ke negara lain. Akhirnya poster ini menjadi kesukaan ramai. Penduduk mengambil dan menampalkan dalam rumah mereka, sehingga kita kehabisan poster,” katanya.

Pada masa sama, Kok Wing juga berperanan mencetuskan kesedaran rakyat Afrika Selatan mengenai hak mereka sebagai pengundi.

“Kami mahu memberikan kesedaran kepada mereka betapa pentingnya sesebuah pilihan raya serta tanggungjawab mereka sebagai pengundi. Cuba lihat poster ini dan cuba lihat surat yang diberikan kepada saya oleh Mandela. Di dalam surat bertarikh 12 April 1994 ini, Mandela mengucapkan penghargaan kepada saya serta kumpulan saya atas sumbangan besar kami sepanjang kempen diadakan.

Sementara itu Kok Wing berkata, selama 25 tahun ini rakyat Malaysia langsung tidak tahu pembabitan Malaysia dalam membantu ANC.

“Memang rakyat tidak tahu sumbangan Malaysia terhadap usaha menghidupkan proses demokrasi di Afrika Selatan. Saya juga akui terdapat beberapa syarikat televisyen luar negara telah menghubungi saya untuk mendapatkan maklumat mengenai perkara ini.

Presiden Afrika Selatan, Jacob Zuma menyampaikan Anugerah Tertinggi Negara Afrika Selatan kepada Lim Kok Wing sempena Hari Memperingati Ulang tahun Nelson Mandela di Rumah Presiden, Afrika Selatan.

“Semua orang tahu siapakah Mandela. Apabila beliau menjadi Presiden semua orang menari dengan gembira. Tetapi satu perkara penting yang seharusnya diketahui terutama rakyat Malaysia adalah peranan Dr. Mahathir dan pasukan dari Malaysia yang menyokong tokoh ini di sebalik tabir sehinggalah beliau dan ANC menang.

“Kita dari Malaysia berada di sana untuk menghulurkan bantuan selepas Mandela yang baharu beberapa tahun dibebaskan daripada penjara telah meminta bantuan daripada Dr. Mahathir kerana kagum dengan keharmonian penduduk berbilang kaum di negara ini. Tugas kempen ini memang cukup berat kerana ANC bukan sahaja berhadapan parti kulit putih, malah perlu melawan sebuah parti kulit hitam lain yang mewakili kaum Zulu,”katanya. -KLIQ NEWS.

.


Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Check Also
Close
Back to top button
%d bloggers like this: