Pemergian Siti Sarah ditangisi seluruh negara

Pemergian Allahyarham Siti Sarah Raissuddin, 36, yang menemui pencipta-Nya begitu meninggalkan kesan dan ditangisi rakyat pelbagai peringkat di seluruh negara.

Shuib memaklumkan kematian isterinya, Siti Sarah menerusi akaun Instagram miliknya.

Bukan sahaja ahli keluarga malah jika diperhatikan di media sosial, begitu ramai yang mengucapkan takziah khususnya kepada suami Siti Sarah, Shahmira Muhamad atau Shuib, tidak kurang juga orang ramai yang mengakui bersedih dengan kehilangan penyanyi itu.

Rakan-rakan artis juga turut bersedih dengan pemergiaan Siti Sarah dan dugaan yang dihadapi keluarga itu.

Malahan, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga melahirkan rasa sedih beliau.

“Khabar duka kehilangan anak seni yang cukup berbakat ini meninggalkan suami, empat anak termasuk seorang bayi dalam keadaan Allahyarham bertarung nyawa di hospital, amat memilukan.

“Bukan sahaja ahli keluarga dan para peminatnya, bahkan seluruh rakyat Malaysia termasuk saya turut bersedih,” kata Muhyiddin menerusi akaun Facebook beliau.

Mengapa pemergian Siti Sarah sangat dirasai? mungkin sikap baik Allahyarham dan suami selain sikap ramah pasangan suami isteri itu menyebabkan mereka disayangi dan disenangi ramai orang.

Mungkin juga faktor Shuib yang selalu menghiburkan hati orang ramai selama ini atas statusnya sebagai pelawak selain ketabahan dirinya selama beberapa hari ini membuatkan apa yang berlaku kepada mereka turut dirasai kita semua.

Perkongsian Shuib di Instagram miliknya sebelum ini yang memohon orang ramai mendoakan kesihatan buat Siti Sarah

Siti Sarah menghembuskan nafas terakhirnya akibat Covid-19 tepat pukul 5.13 pagi tadi di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).

Ia selepas tiga hari penyanyi yang popular dengan lagu Kesetiaan itu dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital itu akibat tahap oksigen menurun.

Disebabkan itu, Siti Sarah terpaksa ditidurkan dan doktor perlu mengeluarkan bayi dalam kandungan yang ketika itu berusia tujuh bulan atau pra-matang yang diberi nama, Ayash Affan.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu, di sini, kira-kira jam 1.20 tengah hari tadi.

Pada 27 Julai lalu, Siti Sarah mengesahkan dirinya dan keluarga positif Covid-19.

Selain Siti Sarah dan suami, Shuib serta tiga cahaya mata, Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, dan Ariq Matin, 6, disahkan positif.

Editor

Related Posts

Edar pek makanan Ramadan di 11 negara

Mendepani jangkaan kemelesetan ekonomi

Read more

Penduduk terjejas banjir di Segamat terima bantuan barangan elektrik

Sebanyak 31 buah keluarga

Read more

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: