Seni & HiburanTerkini

Pemergian Mamat Khalid ditangisi semua

Pemergian pengarah filem tersohor, Mohamad Mohamad Khalid ataupun lebih dikenali sebagai Mamat Khalid, 58, yang meninggal dunia awal pagi tadi begitu dirasai.

Ia bukan sahaja oleh peminat naskhah karyanya tetapi juga oleh oleh rakan-rakan penggiat seni yang pernah bekerja di bawah bimbingan Allahyarham.

Ucapan takziah memenuhi ruangan media sosial masing-masing tidak kurang juga yang mengimbas kenangan masing-masing sewaktu bekerja bersama Mamat.

Seperti  Nasrizal Ngasri, 41,  ataupun Bell Ngasri, Mamat disifatkannya sebagai insan seni yang sangat dia sayangi.

“Namun Allah lebih menyayangi beliau, perancangan Allah lebih hebat buat insan seni ini,” kata Bell menerusi akaun Instagram miliknya,

Pelakon dan pengarah, Aziz M. Osman turut sama mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.

“Kau pergi dulu Mat. In syaa Allah kami akan menyusul,” kata pemegang watak Pak Jabit dalam beberapa siri telemovie Kampung Pisang arahan Mamat.

Seorang lagi pelakon, Ummi Nazeera, 31, pula menyifatkan Allahyarham antara pengarah terawal yang banyak membimbingnya dalam dunia lakonan terutama semasa ketika dia membintangi Filem Hantu Kak Limah Balik Rumah pada tahun 2010.

Secara peribadi, Ummi melihat Allahyarham Mamat sebagai insan yang rendah hati, baik dan sangat menghormati orang lain.

Mamat Khalid meninggal dunia di Hospital Slim River, Perak pada pukul 12.30 tengah malam tadi dan perkara itu disahkan oleh Setiausaha Agung Persatuan Seniman, Hafiz Nafiah.

Menurut Hafiz, Allahyarham pengsan di restorannya, Sarang Art Hub sebelum dikejarkan ke hospital dan disahkan meninggal dunia.

Allahyarham Mamat meninggalkan seorang isteri, Hasmah Hassan serta lima orang anak juga karya-karyanya yang tentu tidak ada penggantinya.

Jenazah Allahyarham dijangka dikebumikan selepas solat zohor hari ini di Tanah Perkuburan Wakaf Masjid Paloh, Ipoh, Perak.

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
%d bloggers like this: